Berita

Lebih banyak sekatan jalan menjelang Ramadan

PEMERIKSAAN polis dalam satu sekatan jalan raya di Kajang. Gambar IPD Kajang
- Diterbit 18 April 2020 7:17 AM MYT

PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melakukan lebih banyak sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara menjelang bulan Ramadan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, langkah ini dilakukan kerana  berkemungkinan orang ramai mengambil kesempatan pulang ke kampung bagi menyambut Ramadan pada fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Seluruh umat Islam di negara ini dijangka menunaikan ibadah puasa bermula pada 24 April ini manakala fasa ketiga PKP adalah bermula 15 April hingga 28 April depan.

“Oleh kerana PKP ketiga, tindakan lebih keras akan diambil maka PDRM akan menambah SJR di seluruh negara bagi memastikan pengawalan dapat dipertingkatkan,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Menurut beliau, pergerakan kenderaan di jalan raya didapati tidak menyusut sebaliknya bertambah berbanding hari sebelumnya.

Jelas beliau, berdasarkan laporan PDRM menunjukkan sebanyak 585,250 kenderaan diperiksa menerusi 816 SJR.

“Seramai 1,565 individu ditahan dengan 1,381 direman dan 184 individu diberikan jaminan polis.

“Selain itu, seramai 544 individu telah didakwa di mahkamah dan jumlah kumulatif penangkapan melibatkan 13,639 individu,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas