Berita

Mahkamah Persekutuan tangguh keputusan dalam rayuan kewarganegaraan

- Diterbit 4 Februari 2021 12:37 PM MYT

PANEL tujuh hakim Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusannya ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian dalam rayuan oleh seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, yang bapanya adalah warganegara Malaysia manakala ibunya rakyat Filipina, untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel itu berkata mahkamah menangguhkan keputusan rayuan itu.

Terdahulu, mahkamah mendengar hujahan daripada peguam Datuk Dr Cyrus Das dan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan.

Hakim lain yang mengetuai panel itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf dan Hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Mary Lim Thiam Suan.

Bapa kanak-kanak itu memohon kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) agar anaknya dijadikan warganegara Malaysia tetapi permohonannya ditolak tanpa sebarang alasan yang sah pada 2012.

Budak lelaki itu dilahirkan di Filipina hasil hubungan ibu dan bapanya, yang kemudian pasangan itu berkahwin di Malaysia selepas beberapa bulan kelahiran anak mereka.

Kemudian melalui bapanya, memfailkan saman pemula memohon perisytiharan bahawa kanak-kanak itu adalah warganegara Malaysia dan perintah mendesak ketua pengarah JPN mengeluarkan sijil kelahiran dan kad pengenalan Malaysia kepada kanak-kanak itu.

Pada 23 Ogos 2017, Mahkamah Tinggi menolak saman pemula kanak-kanak itu yang memutuskan bahawa kanak-kanak itu tidak layak memperoleh kewarganegaraan melalui undang-undang kerana pada masa kelahiran kanak-kanak itu, ibunya bukan warganegara Persekutuan Malaysia.

Beliau juga gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada 14 Feb 2019. Bagaimanpun beliau mendapat kebenaran untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan pada 15 Okt 2019 tentang empat persoalan undang-undang untuk ditentukan oleh mahkamah.

Dalam prosiding rayuan hari ini yang dijalankan melalui Zoom, mahkamah mendengar hujah daripada Das yang berpendapat bahawa ia adalah status kewarganegaraan bapa pada masa kelahiran anaknya yang material dan bukan kesahihan anak itu pada masa kelahirannya.

Beliau berkata Seksyen 1 (b) Jadual Kedua dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dibaca sebagai syarat yang mendiskriminasi antara anak yang sah dan tidak sah untuk kelayakan kewarganegaraan.

Das yang hadir bersama peguam Sharmini Thiruchelvam dan Francis Pereira, berkata jika kanak-kanak yang tidak sah dikeluarkan dari kewarganegaraan, para perangka perlembagaan akan secara nyata memperuntukkan pembatalan itu.

Merujuk kepada Perkara 24 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan alasan yang membenarkan Mahkamah Rayuan untuk menafikan kewarganegaraan kepada kanak-kanak itu, Das berkata bahawa peruntukan itu tidak relevan dengan fakta kes tersebut.

Beliau berkata kanak-kanak lelaki itu yang dilahirkan di luar Malaysia, terpaksa melakukan perjalanan pulang ke Malaysia dan oleh itu terpaksa mendapatkan dokumen perjalanan di tempat kelahirannya untuk memasuki Malaysia secara sah dengan bapanya.

“Kanak-kanak itu akan melepaskan dan menyerahkan pasport Filipina sebaik sahaja kewarganegaraan Malaysia diberikan dan akan mengalu-alukan sebarang syarat yang dilampirkan oleh mahkamah untuk pemberian kewarganegaraan Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Shamsul berpendapat kanak-kanak itu tidak berhak memperoleh kewarganegaraan kerana Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan anak yang tidak sah taraf dilahirkan kepada ibu bukan warganegara untuk mendapat kewarganegaraan Malaysia melalui undang-undang.

Beliau berkata anak luar nikah itu dilahirkan oleh ibu yang bukan warganegara, sambil menambah bahawa pengesahan kanak-kanak itu tidak akan membawa kesan menukar status kelahiran kanak-kanak itu.

“Jelas bahawa walaupun di bawah Seksyen 4 Akta Kesahtarafan 1961, perkahwinan ibu bapa selepas itu hanya akan menganggap kanak-kanak itu sebagai sah dari tarikh perkahwinan,” katanya.

Shamsul yang mewakili ketua pengarah JPN, ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia, berkata status kanak-kanak itu pada masa kelahirannya masih tidak sah dan status kelahirannya tidak melayakkan beliau menjadi warganegara melalui undang-undang. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas