Berita

Konsep hospital kluster dimulakan untuk perangi pandemik COVID – Muhyiddin

- Diterbit 4 Februari 2021 12:40 PM MYT

PENGGUNAAN kemudahan hospital, klinik, makmal, kepakaran, perkhidmatan dan sumber manusia swasta oleh kerajaan telah bermula bagi meringankan beban yang ditanggung oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memerangi pandemik COVID-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin berkata penyumberan luar dan pengambilalihan sumber penjagaan kesihatan itu perlu memandangkan kes COVID-19 yang naik mendadak dalam negara dan sistem kesihatan negara hampir mencapai tahap genting.

Dalam konteks ini, salah satu daripada perkara penting dalam pelaksanaan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 membenarkan penyumberan luar sementara kemudahan kesihatan swasta oleh kerajaan, kata beliau.

Selaras dengan penyumberan luar itu, konsep hospital kluster antara hospital di bawah KKM akan diperluas merangkumi hospital awam lain seperti hospital universiti, hospital angkatan tentera dan hospital swasta yang akan digunakan untuk merawat pesakit COVID-19.

“Hospital swasta akan diletakkan di bawah pengoperasian Hospital Kluster dengan sektor awam di bawah Pusat Kawalan COVID-19 Bersepadu, katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung di televisyen utama serta platform media sosial hari ini.

“KKM juga bekerjasama dengan 31 hospital swasta untuk penyumberluaran rawatan sebahagian daripada pesakit bukan COVID-19 ke hospital swasta ini bagi tujuan mengurangkan tekanan pada hospital kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk merawat pesakit COVID-19 dengan peruntukan RM27 juta disediakan KKM bagi tujuan ini pada tahun ini,” katanya

Bagi pengurusan dan rawatan pesakit COVID-19 di hospital swasta, KKM juga telah mendapat kerjasama daripada hospital swasta di seluruh negara dan setakat 3 Feb pihak hospital swasta bercadang menyediakan 1,344 katil di wad biasa dan 65 katil di wad unit rawatan rapi (ICU).

“Selain itu, kemudahan makmal kerajaan dan swasta juga sedang digembleng untuk meningkatkan kapasiti pelaksanaan ujian saringan COVID-19.

“Sebanyak 68 makmal kerajaan dan swasta di negara ini mempunyai kapasiti untuk melaksanakan 76,805 ujian saringan setiap hari,” kata perdana menteri.

Melalui ordinan darurat itu, kerajaan juga akan mula mengambil alih kemudahan bagi tujuan menambah pusat saringan COVID-19 serta pusat kuarantin dan bagi aktiviti penyumberluaran dan pengambilalihan ini suatu bentuk pampasan akan diberikan kepada pemilik premis berdasarkan naziran penilaian oleh pihak kerajaan.

Sementara itu, sebanyak 16 kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan kem Wawasan telah diambil alih sementara dan digunakan sebagai pusat tahanan dan kuarantin sementara pendatang asing tanpa izin dan penjara sementara sebagai tindakan serta-merta mengurangkan kesesakan di depoh tahanan imigresen dan penjara.

Muhyiddin berkata bagi meningkatkan keupayaan tindakan penguatkuasaan kerajaan, arahan dikeluarkan untuk menurunkan kuasa polis kepada Angkatan Tentera Malaysia bagi membuat penangkapan, pemeriksaan dan rampasan sewaktu operasi pencegahan pendatang asing tanpa izin dan pencegahan COVID-19.

“Saya juga telah mengarahkan anggota RELA yang berjumlah lebih tiga juta orang di seluruh negara untuk membantu tugasan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) di premis perniagaan dan tempat awam.

“Selain itu, kerajaan juga akan melaksanakan Program Pemerkasaan Komuniti melibatkan pemimpin masyarakat setempat dalam kempen pencegahan COVID-19 di peringkat komuniti,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas