Berita

MAFI akan batal lesen pemegang AP sekongkol kartel daging import haram

- Diterbit 11 Januari 2021 8:52 AM MYT

KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan membatalkan lesen pemegang Permit Import (AP) yang didapati bersekongkol dengan kartel daging import haram, kata Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

“Sekiranya ada pemegang AP terlibat, kita tidak teragak-agak membatalkan lesen pemegang AP berkenaan,” katanya ketika diminta mengulas tindakan terhadap pemegang AP yang terlibat dengan kartel daging import.

Beliau yang ditemui selepas melancarkan Kalam Anti Rasuah MAFI (KARMA 2021-2025) di kementeriannya di sini hari ini, berkata siasatan menyeluruh berhubung kartel daging import haram itu sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Saya sebagai menteri di kementerian ini (MAFI) tidak melindungi mana-mana warga MAFI yang terlibat… kita inginkan suatu siasatan mendalam bagi menangani isu ini secara dekat agar masalah ini dapat kita rungkaikan,” katanya.

Khamis lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor kerana disyaki terbabit dalam rasuah berhubung aktiviti penyeludupan bahan mentah sejuk beku dari negara yang dilarang untuk dibawa masuk ke Malaysia.

Pada 2 Dis lalu, MAQIS membongkar kegiatan kartel itu yang membawa masuk daging tanpa sijil halal sebelum meletakkan logo halal palsu untuk dijual di pasaran tempatan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas