Berita

Madrasah di Solok Duku kluster baharu Covid-19

PELAJAR di sebuah pusat tahfiz berkumpul ketika proses sanitasi dijalankan. Gambar hiasan
- Diterbit 14 Mei 2020 1:39 PM MYT

PUTRAJAYA – Madrasah di Solok Duku, Melaka dikenal pasti sebagai kluster terbaharu Covid-19 berkaitan madrasah tahfiz.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini seramai 107 pelajar, guru dan ahli keluarga mereka disaring.

Katanya, empat kes disahkan positif membabitkan dua pelajar dan dua ahli keluarga warga madrasah.

“Sehingga kini, seramai 19,209 pelajar, guru dan kakitangan telah dikenal pasti dari 370 madrasah dan pusat tahfiz di seluruh Malaysia.

“Daripada jumlah keseluruhan ini sebanyak 12,384 sampel sudah diuji keputusannya mendapati 635 kes positif Covid-19, 10,755 kes negatif Covid-19 dan 994 kes masih menunggu keputusan,” katanya.

Katanya, beberapa saranan dibuat sebagai pelan tindakan mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan kluster madrasah.

Jelasnya, langkah itu termasuk pelajar madrasah atau pusat tahfiz yang sudah pulang ke rumah ibu bapa atau penjaga, dimohon menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Klinik Kesihatan atau hospital saringan berdekatan untuk menjalani persampelan ujian.

“Pelajar yang belum pulang, diminta supaya kekal di madrasah atau pusat tahfiz, serta menghubungi PKD atau Klinik Kesihatan saringan terdekat agar dapat dijalankan aktiviti persampelan,” katanya.

Sebelum ini, sebuah madrasah di Hulu Langat dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ekoran jangkitan Covid-19. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas