Berita

LRT tergendala, DBKL tambah laluan khas, sedia enam bas

|
- Diterbit 11 November 2022 2:21 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menambah laluan khas perkhidmatan Bas GoKL bagi membantu orang ramai yang terlibat disebabkan gangguan perkhidmatan LRT aliran Kelana Jaya sejak 9 November lalu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, DBKL telah menyediakan laluan khas Perkhidmatan Bas GOKL mulai hari ini, 11 November yang melibatkan enam buah bas.

“Laluan khas ini meliputi laluan Pasar Seni – Masjid Jamek – KLCC dengan kekerapan setiap 10 minit pada waktu puncak iaitu pukul 7 pagi sehingga 9 pagi dan 5 petang sehingga 8 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mahadi, pihaknya juga meningkatkan kekerapan penyuraian trafik dengan menambah dua lokasi point duty daripada 13 point duty sediada.

“Penambahan dua lokasi point duty ialah di Jalan Jelatek dan Jalan Datuk Keramat.

“DBKL juga menambah bilangan warden trafik di kawasan yang mempunyai aliran trafik yang tinggi dengan kekuatan keseluruhan seramai 45 orang,” katanya.

Katanya lagi, DBKL sedia memberikan bantuan dan kerjasama kepada pihak Prasarana Malaysia Berhad, Polis Diraja Malaysia dan agensi sahabat yang lain bagi memastikan kelancaran trafik dan memberikan kemudahan kepada pihak
yang terkesan.

Tambahnya,meskipun terdapat penambahan laluan itu, perkhidmatan bas GoKL bagi 11 laluan sediada berjalan seperti biasa.

Terdahulu, sebanyak 16 stesen transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya ditutup bermula 9 sehingga 15 November depan.

Menurut RapidKL melalui satu kenyataannya berkata gangguan perkhidmatan LRT itu melibatkan stesen Kelana Jaya, Taman Bahagia, Taman Paramount, Asia Jaya, Taman Jaya, Universiti, Kerinchi, Abdullah Hukum dan Bangsar.

Selain itu, stesen LRT yang tidak beroperasi turut membabitkan stesen KL Sentral, Pasar Seni Masjid Jamek, Dang Wangi, Kampung Baru, KLCC, dan Ampang Park.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong dalam sidang media pada Rabu pula memberitahu bahawa pakar dari Istanbul, Toronto dan Thales Group yang juga pengilang asal (OEM) akan bekerjasama untuk membantu mencari punca utama kegagalan Sistem Kawalan Tren Automatik (ATC).

“Dalam masa sehari atau dua ini, mereka (pakar) perlu mencari punca kerana ia membabitkan masalah teknikal dan mungkin juga perlu melihat aspek yang lain,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas