Berita

Pelakon, pempengaruh meninggal dunia jatuh dari tingkat 22 pangsapuri

- Diterbit 11 November 2022 7:01 AM MYT

SEORANG pelakon dan pempengaruh wanita yang berusia 26 tahun meninggal dunia semalam dipercayai jatuh dari tingkat 22 sebuah pangsapuri di kawasan Taman Iskandar Johor Bahru.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang memaklumkan tentang penemuan mayat seorang wanita di bahagian bawah pangsapuri itu.

Kejadian dipercayai berlaku pada jam 12.50 tengah hari.

“Hasil siasatan polis mendapati wanita berkenaan adalah seorang warga tempatan berusia 26 tahun dan bekerja sebagai pelakon sambilan.

“Sebab kematian adalah jatuh dari tingkat 22 pangsapuri dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Siasatan awal polis tidak menemui sebarang unsure jenayah. Kes telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Orang ramai yang melihat kejadian itu diharap tampil memberi maklumat di Balai Polis Taman Pelangi atau boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mat Nawi Ab Rahman di talian 016-5050808.

Difahamkan, proses bedah siasat masih lagi dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik HSA dan jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kassim Noor, Kampung Sungai Danga, Johor Bahru. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas