Berita

Lintasan Fries McDonald’s tarikan baharu di Bukit Bintang

SHAHIDAN (tiga dari kanan) merasmikan Lintasan Fries McDonald's yang merupakan inisiatif McDonald's Malaysia di Bukit Bintang pada Selasa.
- Diterbit 15 Mac 2022 10:06 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) menggalakkan mana-mana syarikat korporat yang beroperasi di ibu kota untuk memperindahkan laluan pejalan kaki di hadapan premis mereka bagi memperkenalkan identiti perusahaan mereka.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, pendekatan baharu itu boleh menceria kawasan tersebut dan boleh dijadikan tarikan kepada pengunjung.

“Mana-mana syarikat boleh menjadikan laluan pejalan kaki di hadapan premis untuk diperindahkan untuk tujuan memperkenalkan perniagaan mereka dan kementerian tiada halangan bagi tujuan itu.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan bekerjasama bagi membolehkan ia dilakukan dengan peraturan-peraturan tertentu yang dibenarkan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Laluan McDonald’s Fries Crossing di Bukit Bintang di sini pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan Pengarah Urusan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalinkan kerjasama lebih erat dengan mana-mana pihak yang mempunyai inisiatif dalam memperindahkan kawasan-kawasan di Kuala Lumpur.

“Kementerian mengaggap McDonald’s sebagai rakan strategik kepada DBKL yang melaksanakan pendekatan tersendiri untuk menghiasi jalan di tengah ibu kota.

“Kita lihat lintasan jalan kaki Fries McDonald’s ini merupakan tarikan baharu pelancong dan ia akan menjadi tempat tumpuan untuk pengguna media sosial mengambil gambar,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas