Berita

Pengeluaran RM10,000 KWSP diluluskan

ISMAIL Sabri berucap ketika Sidang Media Khas yang diadakan secara langsung menerusi beberapa stesen televisyen dan platform media sosial pada hari ini.
- Diterbit 16 Mac 2022 6:03 AM MYT

KERAJAAN bersetuju membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP.

“Sebelum ini kerajaan membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik COVID-19 melanda negara dua tahun lalu.

“Berdasarkan dapatan kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam fasa pemulihan selepas pandemik ini, ada dalam kalangan Keluarga Malaysia yang masih terkesan dari segi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina semula kehidupan,” katanya ketika Sidang Media Khas yang diadakan secara langsung menerusi beberapa stesen televisyen dan platform media sosial pada hari ini.

Tambahnya lagi penjelasan lanjut mengenai pengeluaran khas KWSP ini akan dibuat oleh Kementerian Kewangan dan KWSP sendiri.

Ismail Sabri berkata ia merupakan keputusan sukar namun perlu dibuat dalam membantu Keluarga Malaysia meneruskan kehidupan pasca pandemik ini.

“Ini merupakan keputusan yang sukar kerana ia melibatkan simpanan hari tua rakyat dan pengeluaran khas ini adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan,” ujarnya.

Beliau turut menasihati pencarum untuk berfikir secara rasional sebelum membuat sebarang keputusan dan pengeluaran dilakukan apabila hanya perlu sahaja.

“Walaupun kerajaan memberikan kebenaran untuk pengeluaran khas KWSP ini, namun saya merayu kepada para pencarum supaya mengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak.

“Saya berharap para pencarum membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran, demi masa depan,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas