Berita

Lima kejayaan besar setahun PM

PRESTASI Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam menerajui kerajaan berjaya membawa negara keluar dari krisis politik, kesihatan dan ekonomi.
- Diterbit 26 Ogos 2022 3:41 AM MYT

PELANTIKAN Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ketika krisis politik, isu kesihatan awam dan kemelesetan ekonomi berlaku serentak bukanlah satu pilihan kepadanya.

Genap setahun sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri telah berjaya mengatasi beberapa konflik sekali gus membuktikan beliau layak mengemudi bahtera Kerajaan Keluarga Malaysia.

Beberapa langkah telah diambil pihaknya termasuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan pihak pembangkang. Selain itu kejayaan melakukan reformasi di Parlimen antaranya dengan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan berkaitan larangan wakil rakyat bertukar parti dan pelaksanaan undi 18.

Tindakan tersebut berjaya mengurangkan suhu politik negara sekali gus dapat mengembalikan fokus kerajaan untuk memulih dan membangunkan negara pasca pandemik COVID-19.

Kerajaan yang diterajui Ismail Sabri berjaya merancakkan semula ekonomi. Suntikan besar diberikan menerusi Bajet 2022 berjumlah RM332.1 bilion yang merupakan peruntukan tertinggi dalam sejarah belanjawan negara dalam membantu memberi sinergi kepada ekonomi.

Inisiatif yang diberikan antaranya Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dengan menyediakan bantuan tunai tambahan kepada golongan B40 untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Cabaran yang menimpa negara khususnya krisis ekonomi yang dicetuskan oleh wabak tersebut serta perang di antara Russia dan Ukraine telah mengheret negara sehingga berlaku inflasi sehingga meningkatkan harga barangan keperluan nyata membimbangkan rakyat.

Bagi menangani masalah tersebut, beliau menyusun langkah dengan menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi mengawal kenaikan harga barangan keperluan dengan lebih berkesan.

Hasilnya harga beberapa barangan keperluanseperti minyak masak, ayam dan telur berjaya distabilkan malah di beberapa tempat harga ayam misalnya dijual pada harga lebih rendah daripada harga kawalan yang ditetapkan.

Ismail Sabri turut membuat keputusan besar dengan meluluskan tambahan subsidi bagi sektor kepenggunaan merangkumi perkhidmatan air dan elektrik, minyak masak serta bantuan Keluarga Malaysia yang memperuntukkan hampir RM80 bilion untuk golongan sasaran. Ia disifatkan sebagai angka terbesar dalam sejarah negara.

Dalam sektor kesihatan awam, kerajaan pimpinan Ismail Sabri berjaya membendung penularan
COVID-19 menerusi pelbagai inisiatif termasuk meneruskan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). Vaksin diberikan secara percuma dan beliau tidak mewajibkan rakyat bagi pengambilan vaksin untuk dos penggalak kedua, sebaliknya ia boleh diambil secara sukarela.

Beliau juga berjaya meratifikasi Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada 18 Mac lalu yang membolehkan negara memanfaatkan perjanjian mega untuk mencerdaskan ekonomi dengan meningkatkan perdagangan.

Penghapusan tarif untuk barangan dagangan yang dinikmati menerusi perjanjian itu membolehkan ekonomi negara terus berkembang. Pada suku pertama tahun 2022, Malaysia mencatatkan sebanyak RM42.8 bilion pelaburan iaitu yang tertinggi dalam tempoh itu setakat ini.

Perdana Menteri turut memperuntukan perbelanjaan yang besar dalam sektor pendidikan dengan memperuntukkan RM450 juta untuk memberikan peranti tablet percuma kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) daripada keluarga B40 melalui program Peranti Siswa Keluarga Malaysia. Ia memberi manfaat kepada kira-kira 350,000 mahasiswa seluruh negara. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas