Berita

Lebih 7.36 juta kemas kini maklumat dalam sistem PADU

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 24 Mac 2024 4:20 PM MYT

LEBIH 7.36 juta rakyat Malaysia meliputi 35 peratus penduduk negara ini sudah mengemas kini maklumat dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) sejak dilancarkan pada 2 Jan lalu sehingga semalam.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pihaknya optimis lebih ramai yang belum mendaftar atau mengemas kini data akan berbuat demikian dalam beberapa hari terakhir sebelum 31 Mac ini, berikutan tahap kesedaran yang semakin meningkat.

“Kita menjangkakan peningkatan yang ketara. Sehingga semalam, sebanyak 7.36 juta telah kemas kini, iaitu mencecah lebih 35 peratus daripada mereka yang berumur 18 tahun ke atas yang kita anggarkan terdapat sekitar 20 juta rakyat Malaysia dalam kumpulan umur itu.

“Daripada 7.36 juta itu…menunjukkan bahawa data termasuk tanggungan bawah 18 tahun juga. Oleh itu, jumlah sebenar melebihi 10 juta jika kita mengambil kira semua tanggungan,” katanya pada program Jelajah PADU Komuniti Siam di Kampung Tok Set, di sini hari ini.

Hampir 100 masyarakat Siam di kampung berkenaan berjaya melakukan pendaftaran PADU dengan dibantu kakitangan Jabatan Perangkaan (DOSM) yang memudahkan proses pendaftaran dan semakan.

Mohd Uzir berkata selain hebahan menerusi media massa dan media rasmi kerajaan serta di media sosial, pihaknya juga turun ke kawasan kampung-kampung bagi menerangkan kepada penduduk yang masih kurang jelas dan faham mengenai PADU.

“Apa pun kami telah menjangka dan bersedia untuk kemasukan besar-besaran ini. Sebagai contoh, semalam, kami merekodkan lebih 300,000 pendaftaran dalam sehari dan menjangkakan pendaftaran akan mencecah hingga 800,000,” katanya.

Beliau berkata DOSM juga akan membuka lebih banyak kaunter fizikal bagi memberi kemudahan kepada orang ramai mendaftar agar tidak berlaku kesilapan.

Menyentuh pendaftaran PADU di Kedah, Uzir berkata statistik menunjukkan 33 peratus atau kira-kira 533,000 rakyat Kedah telah mendaftar dengan sistem itu.

“Sebanyak 41.8 peratus belia Kedah telah mendaftar dan tertinggi di Malaysia setakat ini, manakala kita lihat kira-kira 207,000 warga emas lebih 60 tahun turut mendaftar dengan PADU dan semua angka ini memberangsangkan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas