Berita

Lebih 600 individu terima manfaat program percuma iM Booster

KAM SEONG (tiga dari kiri) bergambar bersama wakil rakan strategik ketika Majlis Sambutan Ulang Tahun Pertama iM Booster. Turut hadir Pengerusi YWP Media, Datuk Afdlin Shauki (kanan).
- Diterbit 6 Julai 2023 7:10 AM MYT

LEBIH 600 individu menerima manfaat menerusi penganjuran program pemeriksaan kesihatan dan perkhidmatan konsultasi, iM Booster, Harmony Malaysia Madani yang diadakan pada 1 dan 2 Julai ­lalu di Leisure Mall, Cheras.

Program dengan ­kerjasama Jabatan Pencegahan dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Pertubuhan Malaysia Madani dan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu merupakan acara amal yang menyediakan kemudahan buat Orang Kurang Upaya (OKU), ­golongan berpendapatan rendah (B40) dan warga emas menjalani ujian saringan kesihatan secara percuma.

Pengasas iM Booster, Datuk Dr Soo Kam Seong berkata antara objektif kempen tersebut adalah meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia dalam kesihatan ­kendiri bagi membolehkan ­pengesanan ­awal penyakit tidak berjangkit ­selain menurunkan risiko ­mendapat penyakit kronik.

“Diharapkan melalui program ini, masyarakat akan ­mendapat kesedaran tentang ­kepentingan penjagaan kesihatan yang seharusnya dilakukan dalam kehidupan seharian,” katanya ketika ditemui Wilayahku sejurus Majlis Sambutan Ulang Tahun Pertama iM Booster pada 1 Julai lalu.

Beliau berkata sebanyak 15 ­pempamer terdiri daripada ­pengamal perubatan tradisional dan komplementari, serta sektor swasta yang berkaitan dengan kesihatan terlibat dalam Program Kempen Kesedaran Kesihatan iM Booster.

“Saringan kesihatan ­percuma yang disediakan ialah perkhidmatan peningkatan imun, pemeriksaan ­darah, Indeks Jisim Badan (BMI), ujian tiroid, ujian kolesterol, ­rawatan resdung, per­khidmatan pemulihan penglihatan, pemeriksaan Mikro peredaran, pemeriksaan Quantum Magnetic Resonance, perkhidmatan ­fisioterapi, rawatan mental, AccessBar terapi dan Tarot,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kam Seong ­berkata Majlis Sambutan Ulang Tahun Pertama iM Booster ­diadakan bagi memperkenalkan kepada orang ramai mengenai fungsi kewujudan mereka.

“Sejak ia ditubuhkan setahun yang lalu kami telah mengadakan lebih 60 program berteraskan komuniti seperti Program Saringan Kesihatan Bergerak dan banyak ­lagi. Menerusi sambutan ulang ­tahun ini juga pihak iM Booster dapat berkongsi mengenai hala ­tujunya pada masa akan datang.

“Saya berharap apa yang kami lakukan ini sedikit ­sebanyak ­dapat memberi kesedaran kepada orang ­ramai mengenai penting­nya ­menjaga kesihatan ­serta turut ­mengalukan kerjasama ­daripada pelbagai ­pihak bagi tujuan ­tanggungjawab sosial korporat (CSR),” ­jelasnya ­kempen ­sedemikian selaras ­dengan ­konsep Malaysia Madani ­untuk ­mentamadunkan masyarakat ­melalui usaha perpaduan dan ­bersatu untuk memanfaatkan ­insaniah, kesihatan, ekonomi ­serta sosial.

Terdahulu, Program iM Booster diadakan selama dua hari ­bertempat di tingkat 2, Leisure Mall, Kuala Lumpur bermula pada pukul 10 ­pagi sehingga 6 petang. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas