Berita

Laporan portal fitnah Menteri Wilayah Persekutuan

- Diterbit 18 Mei 2021 9:20 AM MYT

PORTAL berita dalam talian, Malaysia Dateline telah melanggar etika kewartawanan menerusi laporan bertajuk “Walau PKP, menteri buat majlis hari lahir dihadiri 100 pelajar tahfiz” yang disiarkan pada jam 4:09 petang, 18 Mei 2021.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, laporan tersebut adalah fitnah yang nyata dan merupakan salah satu daripada dua fitnah terbaru terhadap Tan Sri Annuar yang disiarkan oleh Malaysia Dateline hari ini.

“Untuk makluman, program tersebut bersama pelajar tahfiz tidak berlaku semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan seperti dakwaan Malaysia Dateline, sebaliknya berlangsung sebelum pelaksanaan PKP, iaitu pada 29 April 2021.

“Pautan siaran langsung Majlis Silaturrahim dan Berbuka Puasa bersama Maahad Tahfiz Integrasi Madinatul Huffaz adalah seperti di https://www.facebook.com/AnnuarMusa/videos/650154596384180/,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, penulisan berita fitnah ini jelas menunjukkan pelanggaran etika kewartawanan oleh wartawan dan editor Malaysia Dateline.

“Mereka langsung tidak mahu membuat semakan fakta sebelum menyiarkan berita fitnah di portal mereka.

“Sikap tidak berpegang dengan etika kewartawanan ini turut ditunjukkan Malaysia Dateline apabila menyiarkan satu lagi berita fitnah bertajuk “Sekali lagi menteri bergelar ‘Tan Sri’ didakwa menikah di selatan Thailand”.

“Berita fitnah ini telah disiarkan hanya berdasarkan tweet seorang individu, tanpa sebarang rasa tanggung jawab untuk menyemak sama ada sijil nikah tersebut adalah sijil yang sebenar dan tanpa menyemak tweet berikutnya yang menyebut bahawa gambar sijil nikah tersebut hanyalah “sekadar hiasan”,” katanya.-AZLAN ZAMBRY -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas