Berita

Monsta hasilkan empat figura aksi adiwira BoBoiBoy

MONSTA mendedikasikan masa lebih daripada setahun untuk proses penyelidikan serta rekaan mainan bagi menghasilkan figura aksi yang berkualiti pada harga yang berpatutan. Kredit foto: Aksiz MONSTA mendedikasikan masa lebih daripada setahun untuk proses penyelidikan serta rekaan mainan bagi menghasilkan figura aksi yang berkualiti pada harga yang berpatutan. Kredit foto: Aksiz
- Diterbit 18 Mei 2021 9:35 AM MYT

MONSTA, sebuah syarikat harta intelek dan watak, menghasilkan empat reka bentuk figura aksi adiwira BoBoiBoy yang terbaharu di bawah jenamanya sendiri iaitu FGURA™ bagi meraikan ulang tahun ke-10 siri BoBoiBoy tahun ini.

Ketua Jenama dan Pemasaran Antarabangsa Monsta Faiz Zainal Aabidin berkata dua daripada empat figura tersebut iaitu FGURA™ BoBoiBoy dan BoBoiBoy Blaze boleh didapati di cawangan-cawangan 7-Eleven terpilih, manakala FGURA™ BoBoiBoy Ais serta BoBoiBoy FrostFire bakal menyusul Julai nanti dan kesemuanya dijual pada harga RM45 seunit.

Menurut Faiz, selain daripada di cawangan-cawangan 7-Eleven terpilih, harga jualan adalah RM49 seunit.

“Bagi mereka yang selesa membuat pembelian secara dalam talian, Monsta Store Shopee menawarkan BoBoiBoy Galaxy Card FGURA™  edisi terhad eksklusif secara percuma dengan setiap pembelian ‘Set Combo’ yang berharga RM98,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata projek itu dilaksanakan susulan kejayaan filem pecah panggung ‘BoBoiBoy Movie 2’ pada 2019 yang membawa kepada permintaan mendadak terhadap pelbagai barangan dan mainan siri BoBoiBoy sama ada di dalam atau negara.

Menurut Faiz, Monsta mendedikasikan masa lebih daripada setahun untuk proses penyelidikan serta rekaan mainan bagi menghasilkan figura aksi yang berkualiti pada harga yang berpatutan.

Faiz berkata produk keluaran Monsta seperti koleksi permainan kad dan buku komik bulanan merupakan satu daripada barangan keluaran Monsta yang berjaya membawa pulangan besar kepada siri BoBoiBoy.

Monsta dikenali dengan francais animasi popular BoBoiBoy, Papa Pipi, siri pelancongan Fly With Yaya, dan juga siri animasi akan datang yang amat dinantikan iaitu Mechamato. BoBoiBoy merupakan satu kejayaan luar biasa di rantau Asia, dengan lebih 6 bilion tontonan di YouTube hingga hari ini. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas