Berita

KWP kerah lebih 100 anggota DBKL bantu mangsa banjir

SHAHIDAN (kiri) bersama Datuk Azmi Abdul Hamid (tengah) dan Datuk Seri Rosida Jaafar turun padang meninjau keadaan mangsa banjir di Taman Seri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, petang tadi.
- Diterbit 21 Disember 2021 2:34 PM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan mengerahkan lebih 100 anggota unit bahagian kecemasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membantu mengsa banjir di Taman Seri Muda dan Seksyen 25, Shah Alam.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, anggota yang dibawa dibahagikan kepada tiga unit tugasan.

“Pertama, mereka dibawa untuk membersihkan sampah di sekitar kawasan ini memandangkan ia dipenuhi dengan sampah sarap yang dibawa oleh arus banjir.

“Di bahagian lain, mereka akan membantu pihak penyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang masih terperangkap di rumah dan kami giat mendapatkan kenderaan bagi membantu proses ini,” katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan di sekitar Taman Seri Muda, hari ini.

Selain daripada bantuan tersebut, pihaknya juga sedang mendapatkan tandas dan surau bergerak bagi kemudahan mangsa banjir di kawasan ini termasuk Dengkil dan Bukit Changgang.

Dalam pada itu, Shahidan berkata, keadaan banjir di Kuala Lumpur sudah reda dan proses pembersihan sedang dijalankan.

“Kita akan gunakan pam besar untuk mengeluarkan air di basement parkir terutamanya,” katanya.

Menurut Shahidan, pihaknya turut bekerjasama dengan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) untuk melakukan siasatan dan kajian mengenai tanah runtuh di 47 lokasi sekitar ibu negara.

“Ada dua cerun utama yang memerlukan pemantauan iaitu Bangsar Indah dan Jalan Duta.

“Kita sudah sediakan perkara yang diperlukan dan ia memerlukan nasihat daripada pakar. Kita tidak boleh buat sesuka hati untuk mengelakkan berlakunya sebarang perkara tidak diingini yang boleh membahayakan nyawa,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas