Berita

Keperluan makanan 100 mangsa bencana diagih

FAROUK Mohd. Noor (tengah) dan Asyqoh ketika proses membungkus 100 Bakul Makanan untuk diagih kepada 100 mangsa banjir di Hulu Langat, di Dewan Merdeka, Pekan Sungai Besi, semalam.
- Diterbit 22 Disember 2021 2:12 AM MYT

PRIHATIN dengan nasib menimpa mangsa banjir di Hulu Langat, mendorong Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Sub Zon 5, Bandar Tun Razak tampil menghulurkan bantuan makanan untuk 100 mangsa terjejas.

Inisiatif diambil kata Pengerusinya, Farouk Mohd Noor adalah sebahagian usaha untuk membantu mangsa terjejas yang rata-ratanya adalah dalam kalangan warga B40 dan kini sangat memerlukan akibat bencana yang melanda di luar jangkaan.

Katanya, antara barang keperluan makanan yang disumbangkan adalah sardin, biskut, meggie, roti, air minuman dan lain-lain produk dengan setiap satunya bernilai lebih RM30.

“Inisiatif prihatin terhadap kebajikan, keperluan mangsa banjir ini telah digerak dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar selain Pejabat DBKL Cawangan Bandar Tun Razak dan kami sendiri MPPWP Sub Zon 5 bagi meringankan beban mangsa.

“Secara keseluruhannya, sejumlah RM3,000 telah diperuntukkan bagi menjayakan bantuan berupa bakul makanan ini dengan matlamatnya adalah membantu warga yang memerlukan tanpa pula mengambil kira latar belakang bangsa mahupun pegangan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa proses pembungkusan 100 pek bakul makanan di Dewan Merdeka, Pekan Sungai Besi di sini.

Hadir sama Pengurus DBKL Kawasan Bandar Tun Razak, Asyqoh Yusof yang turut sama membantu menyiapkan bungkusan bakul makanan sambil menzahirkan komitmen untuk melestarikan lagi aktiviti kebajikan demi penduduk memerlukan.

Sementara itu, Farouk menjelaskan, selain usaha mengagihkan sendiri bantuan ke lokasi terjejas di Hulu Langat, MPPWP Sub Zon 5 turut tempatkan 8 wakil AJK MPP di kawasan terbabit bertujuan membantu proses pembersihan rumah mangsa.

“Walaupun mangsa bencana banjir Hulu Langat ini bukan di bawah bidang seliaan kami MPPWP Sub Zon 5, namun ia bukan halangan untuk kami bantu ringankan beban mangsa terjejas atas dasar semangat ‘Keluarga Malaysia’.

“Selain agihan 100 bakul makanan kepada 100 keluarga terkesan banjir, AJK kami turut berjaya membantu pembersihan 3 rumah terjejas dengan kesan lumpur ketara. Semoga usaha ikhlas kami ini akan menjadi pendorong bagi pihak MPPWP lain untuk tampil membantu menyantuni warga memerlukan ketika ini,” ujarnya.– WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas