Berita

DBKL komited bangunkan sektor pelancongan di ibu kota – Mahadi

MENURUT Datuk Seri Mahadi Che Ngah, DBKL komited dalam membangunkan semula sektor pelancongan Bandar Raya Kuala Lumpur dengan merangka beberapa program dan inisiatif yang komprehensif bagi tahun 2022.
- Diterbit 21 Disember 2021 12:04 PM MYT

MENYEDARI sektor pelancongan merupakan kunci kepada kerancakkan ekonomi negara, DBKL komited dalam membangunkan semula sektor pelancongan Bandar Raya Kuala Lumpur dengan merangka beberapa program dan inisiatif yang komprehensif bagi tahun 2022 untuk menarik pelancong ke bandar raya ini, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Jelasnya, Kuala Lumpur mempunyai banyak produk pelancongan sedia ada yang berpotensi untuk di lawati selain merancang beberapa tarikan baharu bagi membangunkan semula aktiviti ekonomi yang sebelum ini ditutup ekoran pandemik COVID-19.

“Di Kuala Lumpur, terdapat banyak produk pelancongan yang berpotensi termasuk River of Life (RoL) , Jambatan Saloma Link, Taman Botani Perdana, Taman Tasik Titiwangsa, Dataran Merdeka, Kampung Baru, Pasar Seni, Petaling Street dan Dataran Merdeka Heritage Trail.

“Antara tarikan baharu adalah Kuala Lumpur Augmented City Trail (Klaci) produk pelancongan berasaskan teknologi Augemented Reality. Turut dirancang adalah pelaksanaan program sambutan perayaan awam, KL Drone Festival, KL River Jazz dan pelbagai lagi program yang mampu meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke Kuala Lumpur.

“Segala perancangan ini adalah bagi melengkapkan inisiatif Pelan Induk Pelancongan Kuala Lumpur. Bukan sahaja dapat memperkenalkan budaya dan seni negara,” katanya ketika membentangkan Belanjawan DBKL 2022 pada Selasa.

Beliau berkata, DBKL telah menyediakan peruntukan berjumlah RM32.87 juta di bawah program kebudayaan, kesenian dan sukan serta pelancongan dan antarabangsa.

“Sektor kesenian dan kebudayaan merupakan antara medium utama bagi pembangunan sektor pelancongan dan mampu menjadi tarikan pelancong ke Kuala Lumpur sekali gus dapat mengembalikan sinar kepada penggiat industri dan seterusnya akan melonjakkan semula ekonomi negara.

“Antara aktiviti seni dan budaya telah dirancang untuk diadakan pada tahun 2022 adalah KL GENTA 2022, Festival Tari Kuala Lumpur, Panggung Rakyat, KL Street Jam, Semarak Panggung Bandaraya serta Seni Pementasan Teater Bangsawan. Aktiviti seni dan budaya ini berdasarkan konsep Keluarga Malaysia dengan mengetengahkan kepelbagaian bangsa, nilai-nilai murni, adat dan tradisi,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas