Berita

KWP jamin tiada kenaikan harga rumah walaupun barang binaan naik harga

SHAHIDAN (tengah) turun padang melawat Residensi Wilayah Keluarga Malaysia SkyAwani 3 oleh Sky World Development Sdn Bhd yang dijangka siap pada April 2022.
- Diterbit 3 Disember 2021 11:30 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) akan mengekalkan harga Rumah Mampu Milik (RMM) di bawah kendaliannya meskipun berdepan dengan kenaikan harga bahan pembinaan.

Jaminan itu disuarakan menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang menegaskan bahawa RMM tersebut merupakan dasar di bawah KWP dan kenaikan harga bahan pembinaan tiada kaitan dengan dasar tersebut.

“Kita tidak akan mengubah dasar, harga barang itu bukan urusan. Dasar kita adalah rumah mampu milik dengan keluasan minima 750 kaki persegi, 850 kaki persegi mesti di bawah harga RM300,000.

“Kemudian 900 kaki persegi itu harga lebih sedikit dan itu tidak boleh diubah,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Topping Off Residensi Wilayah Keluarga Malaysia SkyAwani 3 di Setapak pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Ketua Setiausaha KWP, Datuk Seri Rosida Jaafar; Datuk Bandar Kuala Lumpur,
Datuk Seri Mahadi Che Ngah; Pengerusi Perbadanan PR1MA, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya dan Pengarah Urusan Kumpulan SkyWorld, Datuk Ng Thien Phing.

Mengulas kenaikan harga barangan pembinaan serta barangan keperluan harian mutakhir ini, Shahidan berkata, kerajaan telah mengambil tindakan dan kabinet
memutuskan untuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggerakkan usaha untuk membanteras kenaikan harga barangan yang kini di luar kebiasaan.

Tambahnya, penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut akan dilibatkan untuk menjalankan pemantauan dan pemeriksaan harga barangan di sekitar bandaraya bagi membantu KPDNHEP.

“Cuma sekarang ini, saya hendak berbincang dengan KPDNHEP agar penguatkuasaan itu dapat diturunkan kuasa kepada penguat kuasa DBKL untuk menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan terhadap harga barangan yang naik di tahap yang kita tidak boleh fikir,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas