Berita

Sambutan HPPK 2021 hargai peniaga dan penjaja

Gambar : Berita Harian
- Diterbit 3 Disember 2021 12:00 PM MYT

HARI Penjaja dan Peniaga Kecil Keluarga Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 (HPPK 2021) kembali diadakan dalam norma baharu bermula 2 hingga
4 Disember ini.

Timbalan Setiausaha Bahagian Penjaja dan Peniaga Kecil Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Abdullah Abd Rahman berkata HPPK
2021 diadakan bagi menghargai golongan penjaja dan peniaga kecil.

ABDULLAH

“Penganjurannya adalah simbolik penghargaan dan pengiktirafan daripada pihak Kerajaan kepada golongan penjaja dan peniaga kecil di atas sumbangan mereka terhadap negara.

“Kita harus akui bahawa golongan ini merupakan antara penyumbang terbesar atau tulang belakang negara kepada penstabilan ekonomi negara,” katanya.

Abdullah berkata Majlis Perasmian tersebut akan dipancarkan secara atas talian ke tujuh lokasi terpilih iaitu di Kedah, Terengganu, Selangor, Pahang, Johor termasuk Sabah dan Sarawak.

Tambahnya lagi kementerian ini menyasarkan kehadiran pengunjung seramai 10 ribu orang serta 200 penjaja dan peniaga kecil disasarkan untuk menyertai HPPK 2021.

MOHD NADZRI

Manakala Ketua Biro Niaga Muda Gabungan Persatuan Penjaja Dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia ( GPPPKMM) , Mohd Nadzri  Kamaruzzaman berkata platform Warongku juga akan diperkenalkan ketika HPPK 2021 berlangsung.

“Platform Warongku yang sebelum ini dikenali sebagai Warong Rider adalah untuk membantu peniaga-peniaga luar bandar memasarkan produk mereka menggunakan perkhidmatan kita,” ujarnya.

Nadzri berkata antara kelebihan Warongku adalah caj dikenakan hanya sebanyak lima peratus manakala untuk makanan maksimum caj 20 peratus dan tiada caj akan dikenakan kepada peniaga.

“Sekarang kita mempunyai lebih 5,000 rider yang telah berdaftar dan mulai tahun hadapan kita akan mewujudkan peluang pekerjaan dengan mengambil mereka secara tetap.

“Bagi peniaga yang ingin mendaftar pula boleh melayari laman web Warongku atau pergi ke pusat kita yang terdapat di seluruh negeri dan juga boleh menghubungi
Persatuan Penjaja,” ujarnya. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas