Berita

KWP sasar sifarkan miskin tegar hujung Disember ini

KWP komited untuk membasmi kemiskinan bandar di Kuala Lumpur.
- Diterbit 3 Disember 2021 11:30 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) meletakkan keutamaan untuk membasmi kemiskinan tegar di bandar dengan memberi tumpuan terhadap 4,427 keluarga yang mendiami Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di sekitar Kuala Lumpur menjelang akhir tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, perkara tersebut merupakan keutamaan pihaknya dan perbincangan dengan Majlis Agama
Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah diadakan bagi mencapai sasaran tersebut.

“Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kita ada angka rasmi seramai 4,427 keluarga termiskin atau miskin tegar, tetapi setelah dibuat tapisan semula, angka tersebut berkurang menjadi 3,000 keluarga sahaja.

“Kita telah berbincang dengan baitulmal agar ia menjadi keutamaan kerana berdasarkan jumlah pembayar zakat dan kutipan zakat serta cukai, maka adalah tidak wajar ada lagi kemiskinan tegar di bandar,” katanya dalam sidang media Majlis Penyampaian Skim Biasiswa Pengajian Tinggi, Skim Bantuan Awal ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan Cek Skim Prihatin di RumahPrihatin@ GrandSeasons pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha KWP, Datuk Che Roslan Che Daud dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Datuk Zaizalnizam Zainun.

Jelas Shahidan, kemiskinan di bandar lebih sukar berbanding golongan miskin di luar bandar kerana mereka berhadapan dengan kos sara hidup yang lebih tinggi.

“Insya-Allah Disember ini kita akan lihat bagaimana golongan hardcore poor ini akan dapat sifarkan… Kita tidak mahu mereka yang berada di Wilayah Persekatuan ini berada di tahap demikian rupa kerana ada jurang dengan golongan berpendapatan tinggi dan rendah,” ujarnya.

Terdahulu Shahidan menyerahkan Cek Skim Bantuan Awal ke IPT secara one-off kepada 71 pelajar bernilai RM207,500, Skim Biasiswa Pengajian Tinggi kepada 18 pelajar yang sedang menuntut di peringkat Ijazah Sarjana Muda bernilai RM555,112 dan Skim Prihatin kepada 13 penerima bernilai RM17,500. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas