Berita

KWP guna model Jepun atasi bencana

SHAHIDAN (tengah) mendengar taklimat mengenai Projek Tebatan Banjir yang dilaksanakan oleh Tokyo Metropolitan Government (TMG) ketika lawatannya baru-baru ini.
- Diterbit 3 Jun 2022 6:27 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) akan menggunakan kaedah kerajaan Jepun bagi mengatasi masalah banjir kilat di Kuala Lumpur.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata sepanjang lawatannya ke negara matahari terbit itu minggu lalu, pihaknya mendapati tiga kaedah yang digunakan oleh kerajaan Jepun boleh dilaksanakan di sini.

“Pertamanya, mereka membina sebuah tembok di sepanjang Sungai Tokyo agar air tidak melimpah keluar ke jalan apabila berlaku hujan lebat. Seterusnya, penggunaan sistem amaran awal di mana trafik dilarang memasuki kawasan banjir sebelum berlaku hujan lebat.

“Bagi penyelesaian jangka panjang pula, mereka membina terowong atau kolam takungan bawah tanah bagi mengatasi masalah banjir kilat di bandar raya Tokyo,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Semarak Aidilfitri Putrajaya 2022.

Hadir sama, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Ketua Setiausaha KWP, Datuk Seri Rosida Jaafar; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan Naib Presiden Perkhidmatan Korporat Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud.

Menurut Shahidan, pihaknya menghadapi masalah untuk membina tembok sepanjang kawasan sungai kerana ia memakan masa yang agak lama.

“Justeru itu, DBKL mengambil pendekatan membina beg pasir yang mampu bertahan selama dua bulan dan ketika ini ia mampu untuk menampung limpahan air sungai sewaktu hujan lebat.

“Selain itu, kita turut menyediakan pam di 25 lokasi hot spot bagi memastikan air longkang dapat mengalir sepenuhnya apabila berlaku hujan lebat,” katanya.

Jelas Shahidan, inisiatif yang telah diambil bertujuan mengurangkan banjir kilat dan sebelum ini mengambil masa sehingga setengah jam untuk mengeluarkan air bertakung.

“Melalui kaedah yang DBKL lakukan, masalah air bertakung akan dapat diselesaikan dalam tempoh lima hingga 10 minit sahaja,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan sistem amaran awal yang digunakan di Jepun juga akan dijadikan sebagai panduan untuk pihak DBKL menguruskan kawasan yang ditenggelami banjir kilat.

“Pihak polis sendiri akan bekerjasama dengan kementerian di mana sebahagian anggota di Kuala Lumpur akan digerakkan bersama-sama bagi menyelesaikan masalah banjir dan juga menyuraikan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua warga Wilayah Persekutuan untuk menanam semangat kekitaan bagi menangani setiap masalah yang berlaku terutama di Kuala Lumpur.

“Sudah tiba masanya kita menggerakkan anggota dalam mengajak orang ramai datang ke Kuala Lumpur untuk melancong, mesyuarat, bersukan dan sebagainya bagi menaikkan lagi ekonomi di bandar ibu kota ini,” katanya.

Terdahulu, Majlis Semarak Aidilfitri Putrajaya 2022 turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta beberapa menteri kabinet. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas