Berita

KWP cadang buat dua bulan jualan murah untuk tarik pelancong asing

SHAHIDAN (kanan) ketika merasmikan Pustaka Kuala Lumpur @ Keramat di UTC Keramat hari ini.
- Diterbit 14 Disember 2021 6:42 AM MYT

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mencadangkan agar jualan murah dibuat dua bulan berturut-turut bagi menarik pelancong tempatan dan asing ke Kuala Lumpur.

Katanya, tindakan itu dilihat bakal mengembalikan bandaraya itu ke zaman kegemilangannya sebagai syurga beli belah terbaik di Asia Tenggara pada 1990-an yang lalu.

“Datuk Bandar Kuala Lumpur sedang berusaha untuk melihat bagaimana kaedah untuk mengembalikan semula Kuala Lumpur ke zaman kegemilangannya iaitu sebagai pusat membeli belah yang terbaik di Asia Tenggara dan juga salah satu yang terbaik di dunia.

“Kita ada segala jenis barangan di dunia ini ada disini dan bukan itu sahaja, orang luar pun ramai yang berada di sini. Jadi kita cuba runding supaya diskaun yang tinggi pada awal tahun itu dijadikan pusat membeli belah atau pun jualan murah dengan diskaun yang tinggi dan mungkin mencecah sehingga 50 peratus dan sudah pasti pelancong tempatan dan luar negara akan berpusu-pusu ke sini.

“Jadi itu kira sebulan sebelum dan selepas itu seterusnya. Kita hendak jadikan sekurang-kurangnya dua bulan sebagai bulan jualan murah seperti mana yang diamalkan di bandar-bandar besar di seluruh dunia,” katanya kepada pemberita selepas Merasmikan Pustaka Kuala Lumpur @ Keramat di UTC Keramat di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Jelas Shahidan, pihaknya bercadang untuk jadikan sekurang-kurangnya dua bulan sebagai bulan jualan murah seperti mana yang diamalkan di bandar-bandar besar di seluruh dunia.

“Kita mungkin buat dua atau tiga kali jualan murah untuk menarik lebih ramai orang datang. Sekarang ini pun ramai sudah datang (melawat). (Sektor) Hotel kita pun sudah pulih dengan baik dan dengan tarikan tertentu.

“Ia mesti di buat kerana untuk menarik pelancong asing melihat keindahan Kuala Lumpur, dan yang keduanya adalah pusat beli belah,” katanya.

Beliau berkata, DBKL akan memperindahkan lagi bandaraya ini menjelang Sambutan Jubli Emas Kuala Lumpur yang disambut serentak dengan perayaan Tahun Baru Cina pada 1 Februari tahun hadapan.

“Persiapan sudah buat, malah mungkin minggu hadapan kita hendak tengok sejauh mana persediaan itu telah dibuat dan dicapai.

“Kita akan buat persediaan yang rapi supaya ianya menjadi panduan kepada mana-mana pihak untuk menganjurkan perayaan dalam bentuk sedemikian rupa.

“Ini akan melibatkan swasta dan kerajaan tidak akan berbelanja banyak tetapi swasta yang akan (keluarkan) belanja, tetapi dalam masa sama, kita akan perkenalkan jualan murah seperti yang berlaku di bandaraya-bandaraya besar dunia,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas