Berita

KUSKOP, Warongku tarik usahawan luaskan perniagaan ke arah digital

ANTARA produk Mohd Salleh (tengah) yang mendapat sambutan hangat daripada pengguna aplikasi Warongku.
- Diterbit 6 Januari 2023 3:39 AM MYT

MESKIPUN tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak COVID-19 pada tiga tahun lalu telah menyebabkan beberapa aktiviti ekonomi lumpuh, ramai usahawan melihat keadaan ini sebagai satu peluang untuk memulakan bisnes dan meneroka strategi baharu.

Selain perusahaan dan perniagaan sedia ada yang beralih kepada pemasaran produk secara digital, peluang ini turut sama direbut oleh banyak usahawan baharu untuk menjana pendapatan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Sehubungan dengan itu, pihak Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Warongku melaksanakan inisiatif dengan mengadakan 10 siri Program Pemantapan Penjaja Dan Peniaga Kecil melalui pendigitalan perniagaan di seluruh negara bermula 18 Mei 2022.

Menyahut perkara baik ini, kartunis terkenal Gayour atau nama sebenarnya, Mazli Ibrahim berpendapat program tersebut merupakan satu keperluan kepada penjaja dan peniaga kecil untuk mendapat pendedahan dan pengetahuan mengenai kepentingan inovasi serta strategi sesebuah perniagaan.

GAYOUR

“Program ini banyak memberi maklumat yang diperlukan oleh kami sebagai peniaga memandangkan keadaan telah berubah ke arah digital yang mana orang ramai perlu mengetahui cara untuk menggunakan gajet bagi mempromosi, menjual termasuk memasarkan produk mereka melalui digital dan Information Technology (IT).

“Banyak pendedahan yang diberikan tentang perkara ini semasa program. Bagi saya, dalam mendepani perkembangan ini, penggunaan media sosial juga merupakan satu inisiatif positif bagi menyokong perkembangan perusahaan penjaja kecil dan perniagaan peniaga.

“Kami juga disarankan untuk berusaha dan menjadi lebih kreatif untuk mengembangkan perniagaan termasuklah menggunakan platform maya seperti Facebook, Instagram dan TikTok untuk bersaing dengan produk-produk lain yang sudah terkenal,” ujarnya usaha tersebut harus dilipatgandakan terutama pada era sekarang yang segala-galanya terdapat di hujung jari.

Dalam pada itu, Gayour memaklumkan program tersebut bukan hanya menerapkan perniagaan ke arah digital sahaja, malah ada juga kaedah manual yang perlu dipelajari para usahawan bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan.

“Bukan kesemuanya tertumpu kepada digital, ada juga kaedah manual yang perlu dipelajari seperti bagaimana kita hendak berurusan dengan pelanggan, pengiraan stok dan sebagainya yang mana ia tidak boleh dibuat secara digital. Jadi keperluan digital dan keperluan fizikal seseorang usahawan itu perlu seimbang,” jelas kartunis kelahiran Bahau, Negeri Sembilan itu.

Mengaplikasikan apa yang telah dipelajarinya selama tiga bulan dalam Program Pemantapan Penjaja Dan Peniaga Kecil, Gayour memberitahu beliau telah mencabar diri dengan menerbitkan produk terbaharu iaitu Metal Maskot pada bulan Ogos tahun lalu yang mana dia melukis dan mewarna sepenuhnya dengan menggunakan tablet digital.

“Selain itu, saya juga berjaya menerbitkan Komik Badang Perkasa dengan kerjasama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dalam bentuk digital dan berwarna mengikut permintaan pihak penganjur,” ujarnya yang juga berhasrat untuk mengeluarkan lebih banyak merchandise selain komik, T-shirt design baru pada tahun ini.

Sementara itu, pemilik produk Pak Leh Pes, Mohd Salleh Mat Yusoff pula berkata antara sebab beliau menyertai Program Pemantapan Penjaja Dan Peniaga Kecil itu adalah kerana baginya ilmu pengetahuan dalam berniaga adalah asas utama untuk memastikan sesuatu bisnes itu berjaya.

MOHD SALLEH

“Sejujurnya sebelum ini saya ada menggunakan platform secara dalam talian (online) tetapi saya berasa sangat ‘sendu’, selepas sahaja sertai program tersebut barulah saya nampak terdapat banyak kekurangan dalam perniagaan ini. Dalam tempoh tiga bulan mereka banyak memberikan kami ilmu dan bimbingan termasuk cara untuk membuat dan memasarkan produk.

“Pada hujung minggu mereka akan bertanya mengenai progress, ada atau tidak membuat sales seperti yang telah diajar, ada atau tidak pergi berjumpa dengan pelanggan,” ujarnya yang berharap program sebegini akan diteruskan bagi membantu usahawan terutama di kawasan luar bandar.

Selepas tiga bulan menyertai program tersebut, hasil jualan Pak Leh Pes yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak ini telah meningkat kepada 15,000 (pes terjual) manakala di TikTok pula mencecah 147,000 dan turut mengucapkan terima kasih kepada KUSKOP dan Warongku di atas tunjuk ajar yang diberikan menerusi program tersebut.

Terdahulu, Gayour dan Mohd Salleh merupakan antara 20 peserta cemerlang daripada 200 orang yang terpilih untuk menyertai 10 siri pelaksanaan Program Pemantapan Penjaja Dan Peniaga Kecil 2022. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas