Berita

Potongan 30 peratus cukai taksiran buat warga Putrajaya

PIHAK PPj berharap inisiatif yang dilaksanakan dapat menggalakkan pemegang harta di Putrajaya menjelaskan bayaran cukai taksiran mengikut tempoh yang ditetapkan selain dapat mengelakkan caj lewat bayar dan notis E dikenakan. - Gambar hiasan
- Diterbit 6 Januari 2023 3:43 AM MYT

KEPUTUSAN kerajaan memberikan potongan sebanyak 30 peratus daripada jumlah cukai taksiran yang dikenakan dapat mengurangkan beban kewangan ditanggung warga Putrajaya terutamanya penjawat awam.

Naib Presiden Kewangan Perbadanan Putrajaya (PPj), Suhaila Eleas berkata tujuan pengurangan tersebut dilaksanakan adalah berdasarkan rungutan dan pandangan daripada penduduk di Putrajaya yang memaklumkan bahawa cukai taksiran dikenakan ke atas premis kediaman mereka agak tinggi berbanding kawasan sekitarnya.

“Pengurangan ini diberikan selaras dengan hasrat Kerajaan Perpaduan untuk mengurangkan bebanan rakyat terutamanya yang melibatkan golongan M40 dan B40 yang memiliki kediaman mampu milik di Putrajaya.

“Ia diberikan kepada pemilik kediaman mampu milik berharga kurang RM300,000 yang siap bermula tahun 2017 dengan melibatkan sebanyak 8,573 unit kediaman mampu milik di Wilayah Persekutuan Putrajaya di mana secara keseluruhannya melibatkan sembilan Skim Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM).

“Antaranya adalah PPAM Saderi (1,100 unit); PPAM Ketumbar (800 unit); PPAM Seruling (1,062 unit); PPAM Selasih (1,000 unit); PPAM Pudina (1,504 unit); PPAM Palma (262 unit); PPAM Melinjau (650 unit); PPAM Larai (1,679 unit) dan PPAM Jintan (516 unit),” jelasnya cukai taksiran di Putrajaya dikira berdasarkan kadar peratusan yang diambil daripada nilai tahunan iaitu anggaran nilai sewa tahunan harta tanah.

Menurut Suhaila, cukai taksiran perlu dibayar bagi membolehkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti PPj untuk membiayai perkhidmatan pembersihan kawasan (pungutan sampah, pembersihan jalan, parit dan pemotongan rumput); pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur seperti jalan, parit, longkang dan pengindahan bandar; penyediaan dan penyelenggaraan lampu jalan, pembinaan dan penyelenggaraan kemudahan awam seperti dewan orang ramai, tandas awam, pasar, padang permainan kanak-kanak, tempat rekreasi dan sebagainya serta menyediakan perkhidmatan perbandaran dan kesihatan awam.

“Berikutan pengurangan tersebut, meskipun terdapat pengurangan dalam hasil jualan cukai taksiran PPj iaitu sebanyak RM1,586,973.30. Namun, ia tidak akan menjejaskan mutu perkhidmatan cemerlang pengurusan bandar di Putrajaya di mana ia akan ditampung dengan sumber dana yang lain,” ujarnya.

Selain itu, Suhaila berkata PPj turut melaksanakan beberapa inisiatif dan kempen lain dalam menggalakkan pengguna untuk membayar cukai taksiran mereka.

“Sebagai galakan, pihak PPj meneruskan pemberian barangan insentif kepada pembayar cukai yang melunaskan tanggungjawab mereka dalam tempoh ditetapkan.

“Sebagai contoh, bagi bil penggal pertama hendaklah dibuat bayaran selewat-lewatnya pada 28 Februari ini manakala bagi bil penggal kedua, bayaran perlu dibuat selewatlewatnya pada 31 Ogos 2023 untuk layak menerima barangan insentif.

“Di samping itu, kami juga mengambil inisiatif melalui pemberian hadiah cabutan bertuah mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan,” ujarnya sebanyak 25 hadiah menarik terdiri daripada lima hadiah utama dan 20 hadiah saguhati antaranya adalah Motosikal Yamaha Y15 ZR; Motosikal Yamaha 135 LC; iPhone 13 Pro Max; iPad Pro 11; 14-inch MacBook Pro dan banyak lagi menanti pengguna. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas