Berita

Kuala Lumpur ‘tenggelam’ lagi…

KREDIT Gambar dan video Orang Awam KREDIT GAMBAR ORANG AWAM
- Diterbit 7 Mac 2022 9:25 AM MYT

KEMASKINI 7.30 PETANG

Shahidan serah makanan untuk mangsa banjir

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim selaku Pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan turut menyalurkan bantuan makanan kepada mangsa-mangsa banjir kilat di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur.

Serahan dilakukan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YWP Datuk Zalzainizam Zainun kepada mangsa-mangsa banjir dari Kampung Periuk dan kampung-kampung lain yang dipindahkan ke situ.

Sehingga 5.45 petang ini, perpindahan di situ melihatkan 23 buah rumah dengan 59 dewasa dan 21 kanak-kanak.

 

 

KEMASKINI 7.21 PETANG

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi hantaran di Facebooknya berkata hampir ke semua jalan yang dinaiki air telah pun surut.

“Kesemua jalan raya yang terlibat dengan insiden banjir kilat pada petang ini telah pun surut kecuali di laluan underpass di Bulatan Pudu. Warden trafik DBKL telah berada di tapak mengawal laluan lalu lintas.

“Selain itu, laluan underpass di Jalan Tun Razak menghala ke selatan dan utara (berhampiran Intermark) telah boleh dilalui satu lorong daripda tiga lorong. Warden trafik DBKL dan PDRM berada di tapak untuk mengawal lalu lintas.

“Jalan-jalan utama seperti Jalan Pudu, Jalan Maharajalela telah beroperasi seperti biasa. Kakitangan DBKL daripada Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar bersama Alam Flora telah mula memasuki kawasan yang terlibat bagi melakukan kerja-kerja pembersihan,” tulisnya.

 

 

KEMASKINI 7.00 PETANG

DALAM pada itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim turut berkongsi beberapa keping gambar agensi yang telah diarahkan turun bagi operasi banjir kilat petang ini.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan semua agensi keselamatan sudah berada di lapangan yang berlakunya banjir kilat di Kuala Lumpur hari ini,” tulisnya di Facebook.

Shahidan juga telah turun padang bagi meninjau kawasan-kawasan terjejas ketika ini bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

 

KEMASKINI 6.30 PETANG

SUSULAN hujan lebat yang melanda ibu kota, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menutup beberapa pencawang elektrik di kawasan terjejas.

Antara kawasan terlibat adalah:

1. Royal Cendana
2. Bukit Aman
3. Class G Qrt
4. PDRM Bukit Aman
5. Hospital Tang Lin
6. Car Park Jalan Tanglin
7. Jabatan Kesihatan Daerah WP Kuala Lumpur & Putrajaya
8. Jalan Kebun Bunga
9. Jalan Young Stat
10. Pejabat Perancang Selangor
11. Banyan Tree Signature Jalan Conlay
12. Amphitheater
13. The Royale Chulan Hotel
14. Pangsapuri Sri Jati Jalan Jati
15. Kompleks Budaya Kraf
16. Restoran Sri Melayu
17. Rest Hotel Jalan Jati
18. Kraftangan Jalan Conlay
19. Hotel Westin
20. Lembaga Tabung Angkatan Tentera
21. Menara Worldwide JIn Bkt Bintang
22. Menara Keck Seng
23. Royal Selangor Golf Club
24. RHB
25. Wisma Inal
26. Bintang Goldhill Jalan Tun Razak
27. The Forum
28. Jalan Bukit Bintang
29. Bukit Bintang
30. Ritz Carlton Hotel
31. Istana Johor Persiaran Stonor
32. The Pearl Jalan Stonor
33. Dua Residency Jalan Tun Razak
34. Conlay Court
35. The Ascott Jalan Pinana

36. Menara BIMB Jalan Perak
37. Suria Stonor
38. Mni Tower
39. Hotel Impiana KLCC Jalan Pinang
40. Lot 170 J Perak

TNB menerusi hantaran di Facebooknya berkata usaha-usaha sedang giat dijalankan bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan-kawasan terlibat dapat disalurkan secara berperingkat, bergantung kepada akses dan keadaan setempat.

“Sekiranya banjir semakin bertambah buruk, berisiko serta membahayakan keadaan, penutupan bekalan akan dilakukan di pencawang elektrik yang terlibat bagi memastikan keselamatan pengguna setempat.

“Sentiasa waspada dengan hujan lebat dan keadaan berisiko banjir. Simpan dokumen penting di tempat yang selamat. Kesabaran dan keprihatinan anda amat dihargai,” tulisnya.

 

KEMASKINI 6.10 PETANG

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi hantaran dalam Twitternya berkata Kementerian dan Agensi telah mengambil langkah segera berikutan banjir melanda.

“Enam kawasan di Pusat Bandar Kuala Lumpur dilanda banjir kilat dan dinaiki air Kementerian dan agensi telah mengambil langkah segera bagi memastikan keselamatan Keluarga Malaysia elak melalui kawasan banjir kilat dan berhati-hati memandu sewaktu hujan,” ciapnya.

 

BARU nak tarik nafas lega… Kuala Lumpur petang Isnin tenggelam lagi. Dalam kejadian hujan lebat dan ribut petir sekitar jam 3.45 petang ini, beberapa kawasan di bandaraya itu ditenggelami air sehingga ke paras leher.

Sehingga jam 5 petang, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengesahkan beberapa jalan di sekitar Kuala Lumpur dinaiki air antaranya Jalan Sultan Ismail menghala ke Jalan Ampang, Jalan Leboh Ampang, Jalan Raja Laut berhadapan Pusat Beli-Belah Sogo dan Pertama Kompleks, Jalan Tun Razak serta Jalan Kia Peng.

Banyak kenderaan yang terkandas di dalam banjir sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Tinjauan Wilayahku mendapati kawasan yang jarang banjir seperti Pudu juga dinaiki air kali ini.

Difahamkan Kampung Periuk di Kampung Baru dinaiki air sehingga paras leher. 

Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan beberapa laluan termasuk Besraya Expressway membabitkan laluan dari pusat bandar ke Salak Selatan, dari Kuchai ke Salak Jaya dan Kampung Malaysia ke Kuchai ditenggelami banjir.

Banjir kilat yang melanda Lebuhraya Kesas pula menyebabkan empat lorong terhalang di Plaza Tol Awan Besar arah Barat serta hanya satu lorong boleh dilalui di KM48.3 arah Timur menuju ke persimpangan Sukom.

Banjir kilat juga mengakibatkan penutupan sementara laluan di Terowong SMART membabitkan laluan masuk terowong dari Taman Desa dan Cheras menghala ke pusat bandar serta susur keluar terowong dari pusat bandar menghala ke Cheras.

Serentak itu juga, Terowong SMART ditutup sepenuhnya bagi persediaan operasi untuk membolehkan ia mengalirkan air akibat banjir yang melanda.

Banjir yang melanda menyaksikan ribuan kereta yang letakkan di parkir terbuka dan bawah tanah dalam bangunan sekitar ibu kota ini turut ditenggelami banjir.

Menurut ITIS Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), antara laluan yang dilanda banjir kilat adalah Terowong Tabung Haji, Terowong Chan Sow Lin, Jalan Pudu, Jalan Sri Permaisuri, Jalan Tun Razak dan Jalan Pahang.

Selain itu, pihak Lebuhraya Pantai Baru dalam kenyataan dimuat naik di Facebook, hari ini, memaklumkan banjir kilat turut mengakibatkan laluan ke Terowong Kuchai ditutup.

Banjir kilat yang melanda Jalan Kuchai Lama juga mengakibatkan sebuah kereta peronda polis (MPV) ditenggelami air.

Jurucakap pusat gerakan operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan pihaknya sedang menjalankan operasi berhubung banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di sekitar ibu kota ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas