Berita

KPM pandang serius, tiada tolak ansur kes salah laku seksual guru, murid

- Diterbit 25 Mac 2024 11:23 AM MYT

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) memandang serius terhadap kes salah laku seksual yang melibatkan guru dan murid seperti yang dilaporkan oleh media pada hari ini.

KPM berkata, kes tersebut berada dalam perhatian KPM dan tindakan telah diambil mengikut garis panduan yang sedia ada.

“Pihak KPM juga bersedia memberi kerjasama penuh kepada siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Tiada tolak ansur terhadap kesalahan seksual di institusi pendidikan KPM.

“Justeru semua pihak diseru untuk melaporkan kes jenayah seksual supaya tindakan tegas dapat diambil,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambahnya lagi, institut pendidikan bawah KPM diminta untuk mematuhi Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Seksual yang sedang berkuat kuasa bertujuan untuk memelihara keselamatan dan kesejahteraan murid.

Terdahulu, tular di media sosial seorang guru wanita bercinta dengan pelajar lelaki berusia 17 tahun walaupun sudah mempunyai suami dan lima orang anak.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff berkata polis masih menjalankan siasatan ke atas seorang guru wanita yang dikatakan melakukan kesalahan seksual terhadap pelajar lelaki berusia 17 tahun.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak lebih 10 tahun dan sebatan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas