Berita

Konvoi MPPWP elak belia terjebak politik samseng

KHALID bersama peserta konvoi bermotor ketika hadir melepaskan peserta konvoi motosikal anjuran MPPWP sempena SHWP 2020 di Dataran Merdeka.
- Diterbit 3 Februari 2020 12:47 AM MYT

KUALA LUMPUR – Konvoi 1,500 belia menggunakan motosikal pelbagai kuasa (CC) yang dianjurkan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 (SHWP 2020) merupakan inisiatif kerajaan untuk mengelakkan golongan belia terjebak dalam gejala sosial termasuk politik samseng.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, konvoi bermotor tersebut dianjurkan bagi memupuk semangat patriotisme dan perasaan cinta akan Wilayah Persekutuan dalam kalangan belia di bandar raya ini.

“Selain itu, program tersebut juga dapat mendedahkan erti sebenar SHWP 2020 supaya golongan terbabit dapat menghayati dan menghargai kemajuan serta kemakmuran yang dinikmati hari ini.

“Pada masa sama, dapat memastikan golongan belia tidak tersasar dan terjerumus dalam aktiviti sosial yang kurang sihat serta terlibat dalam politik samseng,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan Konvoi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) sempena SHWP 2020 di Dataran Merdeka hari ini.

Khalid berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai insiden yang berlaku terhadap Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dikepung malam semalam.

Kata Khalid, politik samseng yang cuba dicetuskan pemimpin-pemimpin pembangkang berkenaan adalah jelas menunjukkan mereka berada di dalam keadaan terdesak.

“Ia merupakan satu tindakan yang terdesak oleh golongan politik yang selama ini berada dalam keadaan memerintah dan tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka kini menjadi pembangkang,” katanya.

Menurut Khalid, ketika ini pemimpin pembangkang berada dalam keadaan tidak memerintah dan mereka sudah tidak tahan dan sabar.

“Sedangkan kami menjadi pembangkang berdekad, siap dipenjarakan tapi kita terus mengamalkan budaya politik yang matang.

“Mereka menggunakan pemuda-pemuda yang dibela dan dibiayai oleh pemimpin-pemimpin yang terdesak lebih-lebih lagi kes-kes mahkamah semakin jelas menzahirkan keterlibatan mereka di dalam tindakan-tindakan jenayah,” katanya.

Mengulas lanjut, Khalid menegaskan, budaya politik samseng yang dibawa oleh golongan terbabit tidak diterima di dalam negara ini kerana Malaysia mengamalkan politik yang matang.

“Kita inginkan budaya politik yang sihat dan menyatu padukan bukan politik adu domba dan memecah belahkan rakyat,” katanya sambil menyifatkan golongan tersebut kecewa dan tidak tahu apa lagi yang perlu dibuat.

“Maka mereka mulakan satu budaya politik samseng yang jelas dipamerkan semalam dan menggunakan nama Tengku Mahkota Johor (TMJ) sedangkan mereka tiada kena mengena dengan baginda.

“Jadi kita mengutuk sekeras-kerasnya politik samseng tersebut, ia tidak ada tempat dalam negara Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Khalid melepaskan konvoi bermotor yang melibatkan 1,500 buah motosikal yang terdiri daripada 1,100 belia dan 400 daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas