Berita

3,000 pengunjung hadir ceramah Ustaz Abdul Somad

SUASANA sekitar Ceramah Perdana 'Prima Dakwah Wilayahku' oleh penceramah jemputan Ustaz Abdul Somad, di stadium bola sepak Kuala Lumpur sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020.
- Diterbit 2 Februari 2020 4:30 PM MYT

KUALA LUMPUR – Kira-kira 3,000 pengunjung khususnya warga kota membanjiri Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras di sini bagi menyaksikan dengan lebih dekat penceramah terkenal dari Indonesia, Ustaz Dr. Abdul Somad.

Penceramah tersebut diundang untuk memeriahkan program ‘Prima Dakwah Wilayahku’ yang dianjurkan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 (SHWP 2020).

Program tersebut merupakan salah satu acara di bawah Kluster Ilmiah dan Kerohanian yang menjadi sebahagian daripada program sambutan hari wilayah.

Abdul Somad menyampaikan ceramah agama bertajuk ‘Mahabbah Rasulullah S.A.W Pemangkin Keharmonian Wilayah Persekutuan’ yang menyentuh mengenai sejarah perjuangan Rasulullah S.A.W yang mendapat tentangan daripada ahli  keluarga baginda ketika menyebarkan agama Islam di Mekah.

Selain itu, beliau turut mengajak warga kota untuk sentiasa membuat kebaikan dan kebajikan selari dengan prinsip Islam yang menekankan konsep ihsan dalam kehidupan selain menyeru kaum muslimin untuk menghidupkan sunnah Rasulullah S.A.W.

Terdahulu, program yang bermula seawal pukul 5.30 petang dimulai dengan bacaan Mawlid Dhiya Ulamie serta Alunan Qasidah dari kumpulan qasidah tempatan.

Selepas itu, program diteruskan dengan Solat Maghrib berjemaah dan solat hajat berjemaah bagi memohon keselamatan untuk negara daripada pelbagai ancaman dan wabak penyakit.

Majlis diteruskan dengan ucapan perasmian program oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad.

Khalid dalam ucapannya berkata, program yang dianjurkan itu merupakan platform untuk mengeratkan silaturahim dan perpaduan sesama muslimin.

“Penganjuran tersebut juga membantu memperkasa ukhwah Islamiah sesama muslim serta  dapat membantu pihak kerajaan dalam melestarikan konsep Islam sebagai agama rahmat dan keamanan sebagai fahaman arus perdana ummah untuk mendepani masalah dan cabaran ummah semasa.

“Kecenderungan sebahagian untuk membawa ummat ke jalan konflik dan ekstremisme perlu dibendung sepertimana pesanan Rasulullah S.A.W. untuk sentiasa menyemai kasih sayang sesama insan,” katanya.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan; Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim; Ketua Pengarah Plan Malaysia, Datuk Anuar Maidin; Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Datuk Che Roslan Che Daud dan Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan, Ahmad Ajib Ismail.

Majlis dianjurkan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan kerjasama Persatuan Dai Kuala Lumpur.

Majlis diakhiri dengan doa yang dibacakan sendiri Abdul Somad yang memohon agar bandar raya Kuala Lumpur sentiasa dilimpahi keberkatan dan warganya hidup dalam aman dan sejahtera. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas