Berita

Konstabel Polis cedera pada bahagian paha kirinya selepas terkena tembakan

- Diterbit 25 Mac 2021 4:14 AM MYT

SEORANG konstabel polis di Balai Polis Meranti, Pasir Mas, cedera pada bahagian paha kirinya selepas terkena tembakan sendiri ketika proses mengosongkan senjata api, malam tadi.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata dalam kejadian pukul 11.42 malam, anggota berusia 29 tahun itu terkena tembakan selepas peluru di dalam pistol dikatakan meletup secara tiba-tiba.

“Berdasarkan laporan diterima, kejadian berlaku ketika anggota terbabit selesai dalam tugas Ronda Cegah Jenayah dan mahu menyerahkan senjata api jenis pistol separuh automatik.

“Ketika proses keselamatan mengosongkan senjata, secara tiba-tiba anggota yang berada di kaunter hadapan terdengar satu letupan kuat berhampiran. Anggota di bahagian hadapan telah bergegas ke belakang dan melihat mangsa sudah berlumuran darah pada bahagian paha kiri disyaki tertembak diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-214 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Shafien berkata siasatan awal mendapati semasa anggota itu sedang mengeluarkan kelopak peluru dari pistol, secara tiba-tiba satu das tembakan telah dilepaskan secara tidak sengaja dan peluru telah menembusi paha anggota terbabit.

Beliau berkata anggota berkenaan kini stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

Beliau berkata polis akan menjalankan siasatan lanjut mengenai insiden itu untuk melihat sama ada ia satu kecuaian atau sebaliknya. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas