Berita

KKMM kerja keras bangunkan komuniti berkemahiran digital – Saifuddin Abdullah

- Diterbit 23 November 2020 4:43 AM MYT

KERAJAAN perlu bekerja lebih keras untuk membangunkan komuniti yang berkemahiran digital, menjadi digital native dan berinteraksi secara digital, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata ini kerana, aspek berkenaan merupakan sumber tenaga bagi kemajuan negara dan untuk berdaya saing dengan negara-negara lain pada hari ini dan masa depan, khususnya dalam konteks kemajuan industri pada masa depan.

“Dalam hal ini, di samping perlu disegerakan penyempurnaan kesalinghubungan internet dan kemampuan komuniti daripada segi pemilikan peranti yang sesuai, komuniti juga perlu diperkasa daripada segi migrasinya ke dunia digital, penguasaan teknologi terkini dan kesedarannya terhadap disinformation (maklumat palsu), keselamatan siber dan keanggotaan yang positif dalam pelbagai bentuk komuniti digital.

“KKMM berperanan membina ekosistem komuniti digital dengan mempercepatkan migrasi ke dunia digital bagi mereka yang belum menceburinya, meningkatkan kemahiran digital bagi mereka yang telah menceburinya dan meningkatkan lagi pencapaian digital bagi mereka yang telah memiliki kemahiran,” katanya dalam catatan di akaun Facebook miliknya.

Beliau berkata KKMM juga berperanan untuk melonjakkan dengan sepenuhnya bakat-bakat tempatan, melaksanakan program ‘Masyarakat Pintar’ dalam kalangan komuniti akar umbi, menyedarkan komuniti tentang maklumat palsu dan keselamatan siber serta mengaktifkan keanggotaan dalam Komuniti Digital.

Dalam konteks itu, KKMM akan mengoptimumkan penggunaan 1,101 buah Pusat Internet Komuniti (PIK) yang terdapat di setiap daerah di seluruh negara.

“Di samping itu, kita juga akan mengakarumbikan peranan agensi-agensi KKMM seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), MYNIC dan Cyber Security Malaysia (CSM)… semoga kita dapat membangunkan Komuniti Setempat dan Komuniti Digital dengan seiring dan harmoni,” katanya.

Menurut beliau, Komuniti Setempat adalah mereka yang tinggal, bekerja dan sebagainya, secara fizikal di sesuatu kawasan, manakala, Komuniti Digital adalah mereka yang berada secara fizikal dan digital di sesuatu kawasan itu.

“KKMM berusaha melipatgandakan inisiatif-inisiatif komunikasi, contohnya daripada segi strategi komunikasi COVID-19, antara fokusnya adalah bagaimana meningkatkan kualiti komunikasi dengan komuniti, khususnya di peringkat akar umbi, iaitu dengan menggunakan pendekatan pengehakupayaan komuniti atau community empowerment.

“Dengan mengambil kira dinamika komuniti dan selaras dengan penubuhan Majlis Digital Ekonomi Negara dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, maka komuniti hendaklah dilihat daripada sudut pandangan sarwa yang besar dan luas, bahawa kini wujud dua bentuk komuniti, iaitu Komuniti Setempat dan Komuniti Digital,” katanya.

Saifuddin berkata dalam hal itu, terdapat program dan aktiviti pembangunan Komuniti Setempat peringkat akar umbi, iaitu di daerah, mukim, taman perumahan, kampung, rumah panjang dan sebagainya, yang perlu diberi suntikan baharu

“Ini kerana negara memang sejak lama perlu memperkasa kepimpinan pada peringkat ketiga iaitu kerajaan tempatan, daerah atau akar umbi yang dapat menyuburkan partisipasi rakyat dalam amalan demokrasi yang lebih matang. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas