Berita

Khodi jadi puteri kayangan nakal dalam Lenggang

||KHODI berharap lagu Lenggang dapat diterima peminat|KHODI jadi puteri kayangan dalam muzik video Lenggang
- Diterbit 21 Februari 2021 1:44 AM MYT

SELEPAS penyertaan dalam program Lagu Cinta Kita musim kedua (LCK2), nama penyanyi Khodi, 19, atau nama sebenarnya Seri Khodijah Kamarul Bahrin semakin popular dalam kalangan peminat muzik tempatan.

Tidak mahu berlengah, Khodi kini tampil dengan lagu baharu berjudul Lenggang yang mengisahkan seorang puteri yang tertunggu-tunggu kehadiran putera impiannya, demikian juga ceritanya untuk si putera tercari-cari puteri idamannya.

“Lagu ini ala cerita Cinderella. Namun, untuk muzik video Lenggang, saya dan pasukan memberikan sedikit ‘twist’ atau kelainan pada jalan ceritanya.

“Saya memainkan watak seorang puteri kayangan yang mempunyai sifat ego bertopengkan sifat baik dan nakal. Dia berjaya mempesona si putera dengan watak baiknya.

“Bagaimanapun, akhirnya si putera cuma dipermainkan apabila si puteri bertukar menjadi nakal. Saya harap pendengar dapat menghayati mesej lirik Lenggang ini yang sebenarnya sebuah hikayat relevan tidak kira zaman mengenai pencarian cinta antara dua hati. Semoga pendengar juga akan menikmati penceritaannya dalam genre ‘fusion’ pop asli,” katanya.

KHODI berharap lagu Lenggang dapat diterima peminat

Bagi Khodi, kekuatan utama Lenggang adalah melodinya yang pantas melekat di sanubari.

“Bagi saya lagu ini mempunyai melodi dan rentak yang unik dan sebaik mendengar, melodinya akan melekat terus dalam ingatan.

“Ia tidak mudah dilupakan. Rentak elemen asli dalam lagu ini juga sangat menghiburkan dan boleh membuat sesiapa saja terasa nak menari. Saya boleh katakan, lagu ini mampu mencipta satu perasaan indah.

“Paling teruja, saya berpeluang untuk menari sendiri koreografi tarian Lenggang. Semestinya ia pengalaman baru disebabkan saya bukan seorang penari.

“Koreografinya menggabungkan tarian Melayu, keraton dan bagi korus pula tarian inang. Lenggang ini sangat menghiburkan dan semoga pendengar dapat sama-sama mencuba tarian Lenggang ini,” katanya.

KHODI jadi puteri kayangan dalam muzik video Lenggang

Walaupun proses rakaman dilakukan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Khodi mengaku rasa bertuah apabila mendapat bimbingan padu daripada penerbit Lenggang iaitu Shazee.

“Saya sangat menghargai bimbingan dan kerjasama yang diberikan oleh penerbit hebat ini sepanjang proses rakaman.

“Selesai rakaman, saya dan pasukan menetapkan konsep muzik video Lenggang pula. Bagi saya, tariannya juga antara cabaran besar kerana ini adalah kali pertama saya benar-benar menari.

“Dalam tempoh seminggu, pereka tari Emma Tosh dan Raja Eizureen berusaha mengajar langkah tarian dan barulah saya tahu menyanyi sambil menari bukan mudah. Pengalaman berharga ini banyak mengajar.

“Alhamdulillah, hasilnya sangat memuaskan hati dan saya sangat bersyukur dipertemukan dengan insan-insan seni yang handal belaka,” ujar penyanyi kelahiran Kuala Lumpur ini.

Khodi yang juga penuntut jurusan Diploma Muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) pernah tampil dengan lagu Ke Mana sebelum ini.

‘Lenggang’ boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.- WILAYAHKU

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas