Berita

Kes Nik Elin: Mohd Na’im mohon menghadap YDPA, Raja-Raja Melayu persembah keputusan mahkamah

- Diterbit 9 Februari 2024 11:13 AM MYT

SUSULAN keputusan Mahkamah Persekutuan yang memihak kepada Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid n berhubung keabsahan Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kelantan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata beliau akan memohon perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Sultan Ibrahim dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk menyembah maklum akan hal keputusan mahkamah hari ini.

“Saya juga akan segera memohon menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan DYMM Raja-Raja Melayu untuk menyembah maklum perkara yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Mohd Na’im, sebagai tindakan segera beliau telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) berusaha segera untuk mendapatkan alasan penghakiman bertulis bagi kes ini untuk tujuan kajian dan perancangan selanjutnya.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin menegaskan bahawa kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia adalah kekal utuh dengan jaminan kedudukannya sebagaimana dinyatakan jelas di dalam Perlembagaan.

“Justeru, selaras dengan kajian atas alasan penghakiman kes ini yang akan segera dijalankan, perancangan-perancangan lanjut akan dibuat segera bagi memastikan agenda penambahbaikan dan pemerkasaan Mahkamah Syariah akan terus berjalan di Malaysia.

“Beberapa penyesuaian terhadap pelan dan rancangan sedia ada juga akan dilaksanakan selaras dengan keputusan kes ini. Segala ruang dan peluang yang wujud untuk pemerkasaan Mahkamah Syariah akan dilaksanakan,” katanya.

Mohd Na’im berkata, beliau juga akan segera memanggil semua pemegang taruh berkaitan yang terlibat dengan Mahkamah Syariah untuk erbincang dan menilai langkah pemerkasaan seterusnya bagi Mahkamah Syariah.

“Jika terdapat keperluan melakukan apa-apa pindaan atau reformasi undang-undang, kita akan segera melakukannya.

“Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi akan mengkaji isu-isu yang berkaitan dengan kompetensi Dewan Undangan Negeri serta bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana yang diperuntukkan di bawah butiran 1, Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Jelas beliau, hasil kajian, pandangan dan syor yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Khas ini akan dibentangkan dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja.

Tegasnya, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberi jaminan kepada umat Islam bahawa Mahkamah Syariah akan kekal dan terus terjamin kewujudannya selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut menyeru semua pihak untuk bertenang serta tidak melakukan apa-apa provokasi yang boleh mengundang kepada keresahan awam. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas