Utama

Kerjasama Google dan AWANI bantu peniaga kecil

- Diterbit 7 Mei 2021 3:08 AM MYT

GOOGLE Malaysia dan Astro AWANI menjalin kerjasama strategik bagi memacu peralihan perniagaan kecil dan sederhana (SME) tempatan ke arah digital.

‘Jiwa SME Google AWANI’ ini merangkumi aspek kandungan berita dan hal ehwal semasa, pembangunan kemahiran serta latihan secara virtual kepada usahawan kecil dan sederhana.

Pengarah Urusan Google Malaysia, Marc Woo berkata, Google menyediakan pelbagai aplikasi dalam usaha membantu pengusaha kecil dan sederhana di negara ini.

“Hampir 60 peratus pengguna digital baharu bukan dari kawasan bandar dan ini mencerminkan hubungan erat sikap pengguna serta potensi besar ekonomi digital di luar Lembah Klang,” katanya dalam temu bual menerusi program Agenda AWANI yang disiarkan baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail, berkata, usaha tersebut digerakkan seiring matlamat lndustri 4.0 iaitu meningkatkan kualiti hidup melalui pemerkasaan digital dalam kehidupan seharian dan pendigitalan perniagaan.

“Melalui kekuatan penyediaan teknologi oleh Google Malaysia dan Astro AWANI sebagai saluran berita utama, kita berharap banyak lagi kisah kejayaan peniaga-peniaga kecil berubah dengan pantas sepanjang menempuh COVID-19 ini terus menjadi inspirasi kepada umum,” katanya.

Kerjasama ini bakal menyaksikan penyaluran ilmu dan maklumat berkaitan peralihan SME ke arah digital mengisi ruang kandungan seperti Awani745, Agenda AWANI, Niaga AWANI, AWANI Pagi, AWANI Tonight dan banyak lagi di www.astroawani.com serta saluran 501 Astro AWANI.

Pembangunan kemahiran dalam kalangan usahawan tempatan mengenai penggunaan teknologi Google pula bakal mendominasi platform webinar dan latihan secara virtual di Awani LINC (linc.astroawani.com). – OLEH SABRINA SABRE – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas