Berita

Taskforce ditubuh pantau baik pulih lif di PA Desa Rejang

IRWAN RIZAL meninjau dan mendengar aduan penduduk PA Desa Rejang berhubung kerosakan lif yang sering berlaku.
- Diterbit 6 Mei 2021 6:38 AM MYT

BARU sahaja laporan berkenaan kerosakan lif di Perumahan Awam (PA) Sri Labuan, Kuala Lumpur diterbitkan Wilayahku hari ini, penduduk PA Desa Rejang pula membuat aduan.

Bagaimanapun, aduan penduduk terlibat sudah mendapat perhatian pihak berwajib termasuk Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa.

Beliau kemudian mengarahkan pegawainya untuk turun padang bersama pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi meninjau dan membantu menyelesaikan masalah yang sering membelenggu penduduk perumahan strata tersebut.

Pegawai Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah berkata, susulan arahan itu, pihaknya mendapati isu yang ditimbulkan penduduk adalah kerosakan lif yang berpanjangan.

Justeru, beliau berkata, selepas tinjauan dan perbincangan dilakukan bersama kontraktor dengan persetujuan badan pengurusan bersama (JMB), satu jawatankuasa khas (taskforce) ditubuhkan.

“Pasukan itu ditubuhkan secara bersama oleh DBKL, JMB, kontraktor penyelenggaraan lif dan wakil penduduk.

“Mereka akan bertindak sebagai pemantau perkembangan pembaikpulihan lif-lif di PA Desa Rejang selain perlu bersiap siaga selama 24 jam,” katanya kepada Wilayahku.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Setiawangsa memberitahu, kerja-kerja pembaikan kerosakan lif akan dilakukan bermula hari ini bagi memberi keselesaan kepada penduduk setempat.

Katanya, sebanyak 24 lif akan dibaikpulih bagi memastikan kesemuanya dapat berfungsi dengan baik dan memberi keselesaan kepada penghuni PA Desa Rejang.

Terdahulu, seorang pelayar Facebook yang menggunakan nama Sherry Ferry memuat naik status dan mempersoal bila lif di Desa Rejang akan dibaiki berikutan hanya satu daripada tiga lif sahaja yang berfungsi.

Dia yang sedang hamil turut menyatakan rasa tertekan disebabkan keadaan kerosakan lif yang sering berlaku.

PA Desa Rejang yang berketinggian 19 tingkat mempunyai 38 unit lif daripada keseluruhan 12 blok, namun hanya satu lif sahaja berfungsi di setiap blok. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas