Berita

Kerajaan tidak pernah campur tangan siasatan kes rasuah libatkan pemimpin politik – Anwar

- Diterbit 9 Mac 2023 5:22 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan, beliau tidak pernah campur tangan dalam kes rasuah mahupun penyelewengan membabitkan pemimpin politik.

Katanya, dalam kes melibatkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan dipercayai berkaitan projek Jana Wibawa, ia adalah urusan agensi itu.

“Saya tidak campur, tapi saya beritahu kepada SPRM atau Pejabat Peguam Negara tengok kes (dulu). Jadi, (Presiden Bersatu) setuju atau tidak setuju dengan tindakan agensi itu, perlu tengok kes dahulu.

“Tengok dahulu apa pendakwaannya dan apa pertuduhannya. Sekarang ini, belum tahu apa keputusan. Hanya setakat dipanggil.

“Tetapi, untuk mengatakan (mendakwa) semua kes yang diambil itu ada motif politik, maknanya tidak boleh tangkaplah. Maknanya kes rasuah yang besar lain kena lepas?,” katanya kepada media selepas merasmikan Festival Taman Kuala Lumpur 2023 di Taman Tasik Titiwangsa, di sini, hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Hari ini media melaporkan, Muhyiddin hadir ke ibu pejabat SPRM Putrajaya untuk memberi keterangan selepas beberapa pemimpin tertinggi Bersatu disiasat dan ada yang dituduh di mahkamah atas dakwaan menyeleweng dana kerajaan di bawah Inisiatif Projek Jana Wibawa.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau sering kali menjawab kenyataan balas pemimpin Bersatu apabila ada antara mereka disoal siasat SPRM agar melihat dahulu jenis kes yang dikaitkan.

Katanya, beliau sendiri tidak tahu apa pertuduhan ke atas Muhyiddin kerana itu urusan SPRM.

“Saya nak tegaskan semua orang yang mahu negara ini bersih dari rasuah harus lihat kes satu persatu sama ada benar ada pendakwaan politik yang disebut atau pun berdasarkan fakta.

“Bagaimanapun, apa yang saya sebut selama ini adalah mengenai kes berwibawa tebatan banjir yang dibuat berdasarkan dokumen Kementerian Kewangan, bukan SPRM atau Jabatan Peguam Negara,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas