Berita

Pesta mega dilanjutkan sehingga Sabtu

ISMAIL (tengah) bersama Shahidan (kiri) meluangkan masa melawat penjaja yang berniaga di Program Pesta Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil Keluarga Malaysia, hari ini.
- Diterbit 20 Oktober 2022 2:31 PM MYT

PROGRAM Pesta Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil Keluarga Malaysia 2022 dilanjutkan sehingga Sabtu malam (22 Oktober) ini.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata ia dilanjutkan berikutan sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta agar program ini disambung sehingga Sabtu ini berikutan sambutan yang menggalakkan.

“Dalam masa yang sama kita juga akan mengumumkan sesuatu yang besar buat penjaja pada Sabtu malam nanti,” katanya sewaktu ditemui pemberita pada Program Pesta Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil Keluarga Malaysia di Dataran Merdeka, hari ini.

Shahidan berkata antara objektif program ini dianjurkan adalah bagi memberi pendekatan baharu seperti yang telah diperkenalkan.

“Antara lain ia bagi menghimpunkan peniaga, penjaja kecil dan usahawan dari seluruh negara.

“Kita juga akan mengumumkan insentif-insentif usaha untuk membantu penjaja di seluruh Wilayah Persekutuan,”katanya.

Tambahnya sasaran pengunjung adalah dianggarkan lebih 30,000 orang selama tiga hari program berlangsung.

Program yang berlangsung di Dataran Merdeka bermula hari ini sehingga 22 Oktober menghimpunkan lebih 506 usahawan, peniaga dan penjaja dari seluruh negara.

Ia merupakan anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur , Yayasan Wilayah Persekutuan serta Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Malaysia. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas