Berita

Kerajaan kaji sidang Parlimen secara hibrid – Takiyuddin

MENURUT Datuk Seri Takiyuddin Hassan, satu mesyuarat telah diadakan secara maya bagi membincangkan perkara berkaitan persiapan pelaksanaan Parlimen secara hibrid. Kredit Foto oleh - BERNAMA KUALA LUMPUR, 25 Feb -- Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan ketika sidang media di ibu pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah RiÕayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini.
- Diterbit 4 Jun 2021 12:12 PM MYT

KERAJAAN  sedang mengkaji untuk mengadakan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara secara hibrid bagi memastikan Parlimen dapat berperanan sebagaimana sewajarnya walaupun negara masih berdepan dengan pandemik COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata satu mesyuarat telah diadakan secara maya antara pihaknya dan kedua-dua Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta Timbalan-Timbalan Yang Dipertua bagi membincangkan perkara berkaitan persiapan ke arah pelaksanaan Parlimen secara hibrid itu.

Menurutnya ia merangkumi aspek-aspek infrastruktur, teknikal, undang-undang, peraturan dan kewangan.

“Mesyuarat hari ini pada dasarnya bersetuju dengan pelan konsep Parlimen hibrid yang berasaskan penyertaan Ahli Parlimen secara kehadiran fizikal dan juga secara maya,” katanya dalam kenyataan di sini.

“Mesyuarat turut memutuskan supaya kajian lebih terperinci dibuat segera bagi menyediakan kertas lengkap yang akan diangkat dalam waktu terdekat untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas