Berita

Kerajaan jamin tiada murid Sekolah Henry Gurney, Integriti terpinggir

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 21 Mac 2024 10:25 PM MYT

KEMENTERIAN Pendidikan memberi jaminan murid Sekolah Intergriti dan Sekolah Henry Gurney di negara ini tidak akan terpinggir daripada mendapat mana-mana akses pendidikan terbaik hanya kerana mereka berada di sekolah berkenaan.

Menteri berkenaan Fadhlina Sidek berkata jaminan itu termasuk mendapat semua bentuk kemudahan dan kaedah pembelajaran mengikut tahap pendidikan dan jenis peperiksaan yang akan diduduki murid terbabit.

“Jaminan di sini maksudnya semua murid di lapan Sekolah Intergriti dan tiga Sekolah Henry Gurney di negara ini tidak akan dipinggirkan dengan mereka akan menerima pendidikan yang sama seperti murid di sekolah lain.

“Kita beri jaminan ini kerana mereka masuk ke sini dengan umur yang masih di bangku persekolahan dan pendidikan tetap menjadi keutamaan,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Hijrah Kasih ke-14 di Sekolah Henry Gurney Telok Mas di sini hari ini.

Beliau berkata antara jaminan akses pendidikan yang akan diperoleh murid berkenaan ialah mereka akan menduduki saringan literasi dan numerasi, mengikuti program khusus untuk meningkatkan literasi dan numerasi dan ditempatkan dalam satu daripada lima kluster iaitu akademi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), agama, seni dan budaya serta sukan.

Pelajar juga menurutnya, dijamin mempunyai peluang untuk melanjutkan pengajian di peringkat pendidikan tinggi.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata keutamaan dalam pendidikan di Sekolah Intergriti dan Sekolah Henry Gurney terbukti apabila sebanyak 86 calon telah mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2022 dengan lima calon berjaya mendapat keputusan 5A dan ke atas, manakala kelulusan calon di semua sekolah berkenaan ialah 100 peratus.

Sementara itu, beliau mengakui wujudnya kekangan dari segi jumlah tenaga pengajar di sekolah-sekolah berkenaan, namun memberi jaminan kementerian telah mengambil maklum dan akan menambahnya dari semasa ke semasa.

“Proses itu (pertambahan guru) berlaku sepanjang tahun dan setakat ini, kita mempunyai 83 guru di 11 sekolah berkenaan, kita komited untuk mengangkat martabat murid ini menerusi pendidikan tanpa mengira latar belakang atau status,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas