WK2

Kenny Yas bermain dengan ilusi, kreativiti

KENNY YAS perkenal dunia magik.
- Diterbit 16 Mac 2020 2:28 AM MYT

LEWAT 90-an, ketika alam kanakkanak, penulis sering teruja setiap kali menonton rancangan magik di kaca televisyen. Ketika itu, rancangan lagenda ahli silap mata terkenal dunia, David Copperfield merupakan antara yang cukup digilai ramai.

Setiap kali menonton aksinya membuatkan penulis sempat berfikir adakah ia nyata atau sebaliknya. Seiring masa berlalu, tidak tahu di mana silapnya, rancangan seperti itu semakin jarang dimainkan di televisyen tempatan sehingga ia semakin dilupakan.

Sedangkan di luar negara, aksi ini terus menjadi tumpuan ramai bahkan di negara seperti Thailand, Korea serta Amerika Syarikat misalnya, pihak universiti turut menawarkan pengajian dalam bidang tersebut.

Hal itu turut diakui oleh Presiden Persatuan Magik Malaysia yang juga merupakan ahli silap mata profesional, Kenny Yas. Menurutnya, di negara luar magik merupakan satu kerjaya yang menjana pendapatan lumayan dan punya kelas yang tersendiri.

ANTARA persembahan magik yang dilakukan oleh Kenny.

“Magik adalah seni yang sangat unik. Ia perlu dipelajari seterusnya dipraktikkan. Apabila kita berjaya mencari helah tanpa disedari penonton maka itulah magik,” ujarnya yang diberi jolokan ‘Master of Magic’ ini.

Namun dalam konteks masyarakat Malaysia, masih banyak pendedahan dan pencerahan berkenaan magik perlu dibuat di mana masih ramai yang beranggapan serong terhadap seni magik ini.

“Saya ingin masyarakat Malaysia khasnya sedar magik mempunyai masa hadapan yang cerah. Kerana itulah, saya giat mempromosikan seni ini khasnya kepada generasi muda supaya ia berkembang agar suatu hari nanti Malaysia menjadi hab magik di rantau ini,” ujar anak kelahiran Sabah ini.

Sebagai seorang ahli silap mata profesional, kata Kenny, setiap persembahan yang diadakan mampu mencecah lebih RM4,000 bagi tempoh kurang satu jam dan jumlah tersebut lebih lumayan jika diundang ke luar negara.

Bercerita lanjut tentang magik, menurut Kenny, magik terbahagi kepada dua iaitu klasik magik dan ilusi.

“Klasik magik ini mudah, ia lebih kepada menghilangkan sesuatu barang dan memunculkannya semula. Sementara itu, ilusi pula seperti persembahan legenda David Copperfield yang mampu ‘menghilangkan’ diri dalam Tembok Besar China.

“Ilusi magik menggunakan alat-alat bantuan yang boleh mencecah harga ratusan ribu ringgit atau lebih. Pendek kata, makin hebat sesuatu magik itu maka makin besarlah modal yang diperlukan,” ujarnya.

Cerita Kenny, magik sebenarnya menggunakan ilusi untuk menghiburkan orang. “Ya kadang-kadang ahli silap mata hidangkan adegan potong anggota tubuh. Itu semua magik, kalau betul-betul potong, itu bukan orang,” kata Kenny sambil tertawa.

Kenny sering diundang sebagai juri pertandingan magik peringkat antarabangsa. Pencapaian hebatnya tidak perlu dipertikaikan apabila dia berjaya membawa acara magik terbesar di rantau ini iaitu Asian Magic Association Convention (AMAC) setelah memenangi bidaan di Korea Selatan.

“Walaupun konvensyen ini peringkat benua Asia, ia turut dihadiri oleh pakar silap mata dari pelosok dunia seperti Eropah, Amerika Syarikat dan Australia. Nama Malaysia di luar negara amat dikenali meskipun di negara ini masih ramai yang tidak mengenali apakah dunia magik yang sebenarnya.

“Tidak cukup itu, ketokohan Malaysia dalam dunia magik antarabangsa diakui dan diterjemahkan melalui perlantikan Malaysia sebagai Penyelaras Delegasi Luar Negara untuk konvensyen magik antarabangsa terbesar di India dua tahun lalu,” ujarnya yang telah berkecimpung lebih 20 tahun dalam dunia magik.

Menepis tanggapan skeptikal yang menganggap magik itu berkaitan dengan alam mistik, Kenny bangga apabila dilantik oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) untuk bekerjasama dalam program misi kemanusiaan kelolaan pertubuhan bukan kerajaan itu.

“Saya ingin membuktikan magik tiada langsung kaitan dengan ilmu hitam. Ia adalah kemahiran yang disusuli dengan latihan gigih dan usaha dalam setiap aksi yang membuatkan seseorang ahli silap mata berjaya,” jelasnya yang turut digelar David Copperfield Malaysia.

“Melalui kerjasama bersama MAPIM, ia membuka lembaran baharu di dalam gerak kerja menyantuni ummah yang menggabungkan aktivis masyarakat. Bidang magik mampu menjadi tarikan kepada masyarakat di negara ini untuk sama-sama menyumbang dan dan turut serta dalam program kemanusiaan,” katanya.

Selain bersama MAPIM, Kenny juga terkenal dengan acara amal di mana dia telah menggunakan bakat magik yang ada padanya bagi mengumpul dana di Indonesia untuk golongan etnik Rohingya.

“Saya kini dalam perancangan untuk mengadakan satu acara besar di Kuala Lumpur yang membawa mesej keamanan dan kemanusiaan. Itu adalah antara komitmen yang perlu saya beri perhatian selaku duta hak asasi kemanusiaan,” katanya kepada Wilayahku.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas