WK2

Bantu kumpul dana misi kemanusiaan

KENNY melakukan aksi melepaskan diri daripada ikatan rantai besi yang berkunci
- Diterbit 16 Mac 2020 2:32 AM MYT

PELBAGAI usaha dilakukan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) untuk memastikan masyarakat Malaysia sentiasa peka dan prihatin terhadap konflik kemanusiaan yang berlaku di seluruh dunia.

Kini, MAPIM menjalinkan kerjasama dengan ahli silap mata terkenal, Kenny Yas untuk menggerakkan usaha membantu umat Islam khususnya yang berada di zon konflik seluruh dunia.

Menurut Presiden MAPIM, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, pelantikan Kenny sebagai Duta Kemanusiaan MAPIM kerana melihat keprihatinan ahli silap mata tersebut yang aktif membantu misi-misi kemanusiaan sejagat selama ini.

“Dengan kemahiran yang terdapat padanya saya yakin ia amat membantu kita untuk mengumpul dana seterusnya menjayakan misi penting tersebut. Persembahan santai magik mudah menarik minat semua golongan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, sempena bulan Ramadan akan datang, MAPIM juga telah merangka pelbagai projek persembahan yang sesuai bersama pakar silap mata itu.

“Kita juga sedang mencari dana sebanyak RM20,000 bagi menghias pentas yang disediakan di Menara Kuala Lumpur untuk menjalankan aktiviti kemanusiaan MAPIM termasuklah persembahan Kenny yang dijangka menarik perhatian ramai pengunjung,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas