Berita

Pemulihan TH berhasil, agih keuntungan 3.05 peratus

- Diterbit 14 Mac 2020 6:06 AM MYT

KUALA LUMPUR – Pelan pemulihan yang dilaksanakan Lembaga Tabung Haji (TH) menunjukkan hasilnya apabila ia  mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 pada kadar 3.05 peratus.

Ia melibatkan agihan berjumlah RM2.1 bilion iaitu RM1.2 bilion lebih tinggi berbanding RM0.9 bilion bagi tahun kewangan 2018.

Dalam satu kenyatannya, TH berkata agihan keuntungan yang lebih baik ini didokongan oleh prestasi dan kedudukan kewangan yang semakin baik berasaskan strategi pelaburan yang mampan serta langkah pengurusan kos secara berhemat.

“Bagi tahun kewangan 2019, TH berjaya menjana pendapatan pelaburan berjumlah RM3.3bilion, di mana sejumlah RM1.2 bilion telah diperoleh dalam suku keempat.

“Secara keseluruhan, pendapatan pelaburan yang dijana TH adalah lebih stabil di mana pelaburan aset pendapatan tetap menjana 58 peratus pendapatan atau sebanyak RM1.9 bilion manakala pelaburan hartanah, ekuiti dan instrumen pasaran wang Islam masing-masing menyumbang RM0.5 billion (15 peratus), RM0.5 bilion(15 peratus) dan RM0.4 bilion (12 peratus),” katanya.

Menurut kenyataan itu, perubahan strategi pelaburan TH kepada aset pelaburan yang lebih stabil turut berjaya mengurangkan tekanan akibat keadaan pasaran saham yang tidak menentu.

“Antara lainnya, ia berpunca daripada ketegangan perang dagangan di peringkat global. Pada 31 Disember 2019, kedudukan kewangan TH kekal stabil dengan jumlah aset melebihi jumlah liabiliti sebanyak RM2.9 bilion (sebelum agihan keuntungan kepada pendeposit) berdasarkan jumlah aset RM74.3 bilion dan jumlah liabiliti RM71.4 bilion,” katanya.

Dengan pengurusan kos yang berhemat, TH telah berjaya mencatat keuntungan selepas zakat bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM1.9 bilion iaitu peningkatan 19 peratus atau RM0.3 bilion berbanding RM1.6 bilion bagi tahun kewangan 2018.

Kata kenyataan itu lagi, peningkatan keuntungan selepas zakat ini dicapai setelah TH mengambil kira pembayaran zakat kepada majlis agama Islam negeri-negeri di Malaysia dengan kos sebanyak RM86 juta

“Kos mengurus dan menyediakan pelbagai kemudahan kepada semua jemaah haji Malaysia serta mengekalkan kadar bayaran haji pada RM9,980 berbanding kos sebenar RM22,900 bagi setiap jemaah haji Muassasah yang menunaikan haji buat kali pertama pada musim haji 1440 Hijrah yang membabitkan perbelanjaan sebanyak RM370 juta,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff berkata, agihan keuntungan yang diisytihar TH adalah lebihan keuntungan pelaburan setelah mengambil kira perbelanjaan dan bantuan kos haji, bayaran zakat dan kos pengurusan.

“Oleh yang demikian, pendeposit TH bukan sahaja mendapat manfaat pulangan keuntungan ke atas simpanan mereka malah turut menyumbang secara langsung dalam membantu jemaah haji Malaysia menunaikan rukun islam ke-lima dan golongan asnaf dalam menjaga kebajikan mereka.

Menurut Nik Hasyudeen lagi, TH akan terus melangkah ke depan dan berusaha untuk menambah manfaat ke atas simpanan pendeposit setelah peralihan kepada kontrak simpanan Wakalah dengan memperkenalkan pelbagai tambah nilai yang lain, disamping terus memastikan prestasi pelaburan yang mampan.

“Agihan keuntungan bagi tahun kewangan 2019 dikira berdasarkan purata baki simpanan terendah bulanan pendeposit.

“Para pendeposit boleh menyemak pengkreditan agihan keuntungan bermula 16 Mac 2020 menerusi kaunter- kaunter TH; Bank Islam dan Bank Rakyat; ATM Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB, atau secara atas talian di laman sesawang www.thijari.com.my dan portal internet Bank Islam, Bank Rakyat dan Maybank,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas