WK2

Putrajaya model landskap bunga hiasan

WARNA kuning menyerlahkan lagi reka bentuk landskap taman.
WARNA kuning menyerlahkan lagi reka bentuk landskap taman.
- Diterbit 26 Julai 2019 12:01 AM MYT

SEJAJAR dengan hasrat kerajaan menerusi Jabatan Landskap Negara untuk mewujudkan industri biji benih bunga, Perbadanan Putrajaya (PPj) memberikan fokus mengindahkan bandarnya terutama kawasan Persiaran Perdana dan bulatan Putrajaya dengan bunga-bungaan tropika.

Ini kerana dengan langkah tersebut, bandar-bandar dari negara luar akan tertarik seterusnya berminat untuk menjadikan Malaysia sebagai ikon bunga sekali gus memajukan industri biji benih.

Pengarah Bahagian Taman dan Rekreasi, Jabatan Landskap dan Taman Perbadanan Putrajaya, Mohammad Salleh berkata, tanaman landskap berasaskan bunga renek di bandar pusat pentadbiran kerajaan Pusat ini telah bermula kira-kira 10 tahun lalu.

“Ia bertujuan untuk mencatikkan kawasan setempat sekali gus menjadi model landskap bunga-bungaan. Landskap berkenaan boleh dilihat di Persiaran Sultan Abdul Aziz, Jalan Protokol, Presint 10 dan Presint 16.

“Industri benih bunga amat penting kepada negara kerana pada masa ini, bunga yang ditanam adalah bunga annual atau dikenali pokok bulanan seperti pokok balung ayam,” katanya.

Menurut Mohammad, pusingan kerja bagi tumbuhan tersebut adalah satu bulan kerana hanya berbunga dalam tempoh kira-kira dua minggu dan selepas itu ia perlu digantikan.

Ekoran itu, katanya, kos bagi penanaman bunga tersebut amat tinggi.

Tambahnya lagi, bagi mengurangkan kos, kerajaan berhasrat menukarkan tanaman annual tersebut kepada tumbuhan seperti bunga kertas.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas