Berita

Kejayaan Projek Smart SBB Sekinchan tarik minat pesawah

- Diterbit 29 Ogos 2023 12:01 AM MYT

KEJAYAAN Projek Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) Mini Sekinchan membantu  meningkatkan pengeluaran padi berlipat kali ganda menarik minat golongan pesawah untuk menyertainya.

Seorang pesawah di Pahang, Muhammad Awang Kechik, 68, berharap projek itu dapat dibawa ke negeri itu bagi membantu meningkatkan pendapatan golongan berkenaan.

Beliau yang mengusahakan sawah seluas kira-kira empat hektar di Kampung Setajam, Rompin berkata projek itu bukan sahaja mampu menyumbang kepada peningkatan penghasilan beras tempatan malah akan mengurangkan kebergantungan kepada beras import.

“Dengan meningkatnya penghasilan padi, ia juga dapat menarik minat generasi muda untuk mengusahakan sawah. (Pesawah) di Sekinchan telah membuktikan dengan ilmu dan teknologi yang baik boleh dapat hasil padi sehingga 10 tan per hektar, ini bantu pesawah ada pendapatan lebih selesa selepas ditolak modal menanam bagi musim tersebut,” katanya kepada Bernama.

Muhammad Awang berkata pengeluaran hasil padi pada asasnya banyak bergantung kepada cara penanaman dan penjagaan selain faktor alam dan serangan ulat perosak.

Sementara itu, kebanyakan pesawah di Perlis berharap projek Smart SBB Mini Sekinchan yang telah dimulakan di Kampung Lat 1000 di Arau, terus diperluaskan ke kawasan lain.

Pesawah di Kampung Mengkuang Layar, Mohd Syafiq Yusof, 42, berkata beliau teruja dengan projek itu yang berjaya menghasilkan sehingga 10.45 tan padi bagi setiap hektar berbanding kaedah lama digunakannya iaitu sekadar lima tan bagi sehektar pada musim padi tahun lepas.

Bagi pesawah yang hanya ingin dikenali sebagai Pak Ya, 50, pula menyifatkan projek Smart SBB Mini Sekinchan di Kampung Lat 1000 adalah contoh terbaik membuktikan bahawa hasil padi boleh meningkat jika diusahakan secara serius dan amalan pertanian yang betul.

Menurut Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), projek itu dilaksanakan di Kampung Lat 1000, Simpang Empat di Perlis dan Kampung Tok Mengkula di Kedah melibatkan keluasan 172.97 hektar.

Ketua Tani Kampung Tok Saboh di Terengganu, Jusoh Ismail, 54, menyambut baik usaha kerajaan membantu meningkatkan pengeluaran padi menerusi projek itu.

Mengambil contoh di negeri itu, Jusoh berkata ketika ini terdapat kira-kira 400 hektar kawasan penanaman padi di Kampung Tok Saboh dan Pengkalan Nangka, dengan pengeluaran hanya kira-kira dua tan semusim, yang sekadar mencukupi untuk menampung kegunaan penduduk di Daerah Besut.

Pesawah dari Kampung Kederang, Zulkifli Mat Zain pula berpendapat kerajaan perlu mencari kaedah lain supaya tanaman padi dapat dituai dengan lebih cepat untuk menampung permintaan yang semakin meningkat. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas