Berita

Rahmat Mohamad letak jawatan sebagai Pengerusi Suhakam berkuat kuasa 31 Ogos

- Diterbit 28 Ogos 2023 2:00 PM MYT

PAKAR perundangan, Profesor Datuk Dr Rahmat Mohamad akan meletakkan jawatan secara sukarela sebagai Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkuat kuasa 31 Ogos ini, menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

BHEUU dalam satu kenyataan hari ini berkata kerajaan akan melantik pengerusi sementara dalam masa terdekat untuk menjalankan tugas sebagai Pengerusi Suhakam sehingga pelantikan baharu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Menurut BHEUU, Rahmat, yang dilantik sebagai Pengerusi Suhakam pada 22 Jun 2022, kini merupakan Pengerusi Lembaga Penasihat Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) bagi sesi 2023-2025 setelah dilantik ke jawatan tersebut pada 23 Ogos lepas (2023).

“Beliau telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam gerak kerja Suhakam bagi sesi 2022-2025, termasuklah kejayaan sesi perbahasan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suhakam 2020 di Dewan Rakyat pada 12 hingga 14 Jun lepas,” menurut kenyataan itu.

Pada 23 Ogos lepas, BHEUU menerusi satu kenyataan mengumumkan pelantikan Rahmat sebagai   Pengerusi AIAC bagi sesi 2023-2025, selepas kerajaan menubuhkan Lembaga Penasihat AIAC sebagai langkah penambahbaikan Majlis Penasihat AIAC sedia ada.

Lembaga Penasihat AIAC itu antaranya memainkan peranan semak dan imbang, selain menyumbang pandangan, cadangan serta nasihat strategik berkenaan pentadbiran dan pengurusan AIAC yang diterajui Pengarah AIAC.

BHEUU berkata pelantikan Rahmat sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat AIAC adalah bertepatan dengan latar belakang beliau dalam bidang perundangan antarabangsa serta berpengalaman sebagai Setiausaha Agung yang kelima Pertubuhan Perundingan Perundangan Asia Afrika (AALCO). – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas