Berita

Kebun Komuniti tambah rezeki

KUCAI antara sayuran yang ditanam di Kebun Komuniti di Putrajaya.
- Diterbit 21 Jun 2020 1:00 AM MYT

KEMPEN Bumi Hijau yang dilaungkan bermula 2008, membuka ruang penduduk setempat khususnya di Putrajaya mendapatkan pendapatan sampingan apabila masing-masing mula mengamalkan pertanian bandar di kawasan kediaman.

Malah susulan usaha murni itu, Program Pertanian Bandar Putrajaya diketengahkan dan hasilnya, empat kawasan diluluskan sebagai Kebun Komuniti.

Kebun Komuniti 1 adalah di Taman Rimba Desa Presint 9 manakala Kebun Komuniti 2 di Presint 8, Kebun Komuniti 3 (Presint 9) dan Kebun Komuniti 4 di Presint 14.

Pengarah Pembangunan Mampan Perbadanan Putrajaya, Norzita Abdul Razak berkata, program yang dilaksanakan itu juga sejajar dengan konsep Perancangan Putrajaya Bandaraya Dalam Taman dan Dasar Bandar Hijau Rendah Karbon Putrajaya.

PENGUNJUNG melihat tanaman kebun bandar sebelum membeli.

Ujar beliau, konsep tersebut menggalakkan komuniti Putrajaya mengamalkan amalan gaya hidup hijau (greenlife-style) dengan bercucuk tanam serta amalan untuk pemeliharaan alam sekitar lestari dan amalan penjimatan tenaga, air dan kitar semula.

“Sehingga kini terdapat empat kawasan yang diselia sebagai Kebun Komuniti. Kita juga mempunyai dua kebun ternakan madu kelulut komuniti di Taman Rimba Desa Presint 9 yang diusahakan Koperasi Komuniti Putrajaya Berhad dan kebun ternakan madu kelulut komuniti yang diusahakan Persatuan Penduduk Presint 15H.

“Selain menambah sumber pendapatan sampingan penduduk setempat yang mengusahakan program di bawah konsep persepakatan Local Agenda 21 (LA21) Putrajaya turut mendapat sokongan daripada Kementerian Wilayan Persekutuan, Perbadanan Putrajaya (PPj) dan rakan-rakan strategik lain,” katanya.

Mengulas tentang pendapatan sampingan, Norzita memaklumkan, hasil tanaman seperti buah rock melon dan cili berupaya memberi pulangan sehingga ribuan ringgit setiap kali musim tuai, malah, ia turut dijadikan sebagai cenderahati korporat oleh agensi-agensi kerajaan.

Tambah beliau, PPj akan terus memudahcarakan pelaksanaan Program Pertanian Bandar Putrajaya dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat setempat selain cuba membantu memperluaskan lagi program-program seumpama­nya untuk tujuan pelancongan dan kepelbagaian sumber makanan yang boleh memberi pulangan ekonomi kepada rakyat setempat di Putrajaya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas