Berita

Berbasikal sukan popular di Putrajaya

BERBASIKAL aktiviti sihat pilihan ramai.
- Diterbit 21 Jun 2020 1:00 AM MYT

AKTIVITI berbasikal bukanlah perkara yang baru namun sejak kebelakangan ini ia kembali menjadi fenomena. Bukan sahaja dalam kalangan generasi muda bahkan aktiviti ini tidak mengira lapisan usia serta latar belakang sosial.

Yang pasti banyak faedah serta manfaat yang tidak dapat diungkapkan dengan aktiviti berbasikal antaranya baik untuk kesihatan secara keseluruhannya jika ia dilakukan secara teratur.

Tinjauan Wilayahku baru-baru ini menyaksikan Putrajaya menjadi antara lokasi berbasikal paling digemari ramai. Seawal pagi, jalan raya di sekitar bandar mesra sukan ini dipenuhi dengan penunggang basikal.

Rata-rata daripada mereka mengakui Putrajaya menjadi pilihan kerana faktor jalannya yang lebih selamat serta kurangnya kesesakan lalu lintas berbanding di kawasan bandar.

Selain itu, lokasi ini juga yang banyak dibangunkan kawasan rekreasi memudahkan penunggang mengayuh basikal sambil bersantai dengan tenang tanpa perasaan gusar terhadap kenderaan.

REZAL FAHMI

Bagi salah seorang penunggang yang dikenali sebagai Rezal Fahmi ArJunaidi, 37, dia memilih aktiviti berbasikal sejak enam bulan lalu kerana ia dapat membantu mengurangkan berat badan.

“Ini antara aktiviti yang saya sering lakukan selain berlari. Berbasikal mampu membakar antara 400 hingga 1,000 kalori dalam masa satu jam. Biasanya saya akan mengayuh sekurang-kurangnya 20 kilometer dalam satu-satu masa,” ujarnya.

Tambahnya, selain kos yang murah serta efektif, berbasikal juga dapat mengeratkan silaturahim jika ia dilakukan bersama rakan-rakan mahupun kaum keluarga.

“Bukan itu sahaja, melalui aktiviti ini, saya dapat meluaskan pergaulan dengan rakan-rakan komuniti di kawasan ini yang turut bersama-sama berbasikal. Jika ada kelapangan, kami akan mengayuh ke lokasi yang lebih jauh lagi,” ujarnya.

Sementara itu, menurut Mohd Qayyim Mohd Saiful Anuan, 16, pula dia mula terlibat dalam kayuhan ini sejak berumur 6 tahun. Keluarga merupakan pendorong utamanya untuk bergiat aktif dalam aktiviti riadah ini.

MOHD QAYYIM

“Berbasikal dapat membina otot. Rintangan yang dialami ketika berkayuh tidak hanya membakar lemak malah ia juga turut membina otot terutama pada beberapa bahagian antaranya betis, hamstrings, quads dan glutes.

“Paling saya suka, dengan aktiviti ini otot akan menjadi lebih menarik. Selain itu, ia juga dapat meningkatkan kesihatan mental. Jika saya tertekan, berbasikal dapat mengurangkan rasa resah tersebut,” ujarnya.

Ditanya tentang kos bagi penunggang basikal yang baru berjinak-jinak dalam sukan ini, menurutnya usah terlalu memikirkan hal tersebut kerana tidak semestinya perlu membeli basikal yang mahal.

“Terdapat dua jenis basikal iaitu aluminium dan karbon yang mana karbon lebih mahal boleh mencecah puluhan ribu ringgit. Namun pemula disarankan untuk lebihkan berkayuh daripada bergaya,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas