Berita

YaPEIM jelajah negara, 90,000 keluarga dapat manfaat

PARIHAH (tiga kiri) serahkan sumbangan kepada keluarga yang memerlukan.
- Diterbit 20 Jun 2020 12:19 PM MYT

PRIHATIN dengan kesusahan yang dialami golongan B40 dan asnaf, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) hari ini tampil menyalurkan sumbangan di bawah Program Inspirasi Musaadah Aidilfitri YaPEIM.

Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan berkata, sumbangan tersebut diserahkan kepada lima buah keluarga yang berada di sekitar Kota Kinabalu, Sabah selepas pihaknya mengenal pasti penerima melalui pimpinan masyarakat setempat.

Ujar beliau, sumbangan yang diberikan adalah wang tunai serta barang keperluan asas seperti beras, minyak masak dan gula.

“Program Inspirasi Musaadah Aidilfitri YaPEIM merupakan kesinambungan dari Program Foodbank YaPEIM 2.0 yang komponen utamanya adalah Program Musaadah Ramadhan YaPEIM dan Program Musaadah COVID19 yang dilaksanakan sebelum ini. Sejumlah RM4 juta diperuntukkan pada tahun ini.

“Program Inspirasi Musaadah Aidilfitri YaPEIM ini sedang giat dilaksanakan di seluruh negara dan kini sedang menjelajah ke negeri Sabah. Dijangka lebih 90,000 penerima manfaat bakal disantuni,” katanya selepas menyerahkan sumbangan.

PARIHAH (tiga kanan) serah sumbangan kepada penerima yang layak.

Sementara itu, salah seorang penerima, Edah Tujihan dari Kampung Numbak, mengucapkan rasa syukur dan berterima kasih atas sumbangan yang diberikan YaPEIM

Katanya, dengan bantuan tersebut, sedikit sebanyak dapat membantu meringankan perbelanjaan keluarganya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas