Berita

Kawasan rendah dari paras sungai punca banjir kilat-DBKL

ANWAR (dua dari kanan) meninjau operasi banjir kilat di Kuala Lumpur hari ini.
- Diterbit 25 Mei 2022 2:17 PM MYT

KAWASAN lebih rendah dari paras sungai dan mendapan tanah yang terkumpul di dalam longkang merupakan antara punca beberapa kawasan di Kuala Lumpur dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat yang berterusan selama lebih dua jam hari ini.

Pengarah Eksekutif Sosio Ekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Anwar Mohd Zain berkata antara lokasi rendah daripada paras sungai yang dinaiki air ialah kawasan sekitar Jalan Rahmat, Jalan Ipoh Batu Tiga, Jalan Segambut dan Jalan Ampang dan air yang bertakung telah surut dalam tempoh setengah jam.

“Terdapat juga mendapan tanah di tepi longkang daripada projek pembangunan berhampiran, yang menyebabkan aliran air perlahan dan tersekat iaitu di Jalan Dutamas Dua, Lebuhraya Sultan Iskandar susur ke Jalan Kuching.

“DBKL dengan bantuan Alam Flora berjaya membersihkan kelodak tanah di kawasan itu selain turut menghantar 10 pam air di kawasan air bertakung.

“Selain itu, beg pasir turut diletakkan di beberapa kawasan rendah seperti Sungai Bras-Bras, Jalan Parlimen, Jalan Rahmat dan Lebuh Ampang bagi mengurangkan kesan limpahan air sungai,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Belian berkata,seramai 300 anggota terlibat bagi mengawal aliran trafik, melakukan kerja-kerja penyuraian trafik serta memastikan aliran air dapat mengalir dengan baik.

“Kejadian yang berlaku hari ini tidak menyebabkan kerosakan harta benda serta tiada kesesakan trafik yang teruk dilaporkan,” katanya.

Ujarnya, Anwar turut menjelaskan bahawa video banjir kilat di Jalan Travers yang tular di media sosial hari ini merupakan kejadian yang berlaku pada April lalu dan menasihati orang ramai supaya sentiasa menyemak sebarang maklumat terlebih dahulu daripada sumber yang sahih.– WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas