Berita

Kamarudin ketuai delegasi malaysia ke mesyuarat CFM OIC ke-48 di islamabad

MENYAMPAIKAN ucapan pada sesi mesyuarat. Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 22 Mac 2022 5:39 AM MYT

TIMBALAN Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Majlis Menteri-Menteri Luar (CFM) Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-48 di Islamabad, Pakistan dari 22 hingga 23 Mac.

Menurut kenyataan Wisma Putra hari ini, Kamarudin dijangka menyampaikan ucapan pada sesi mesyuarat itu, antara lain mengetengahkan ketetapan Malaysia terhadap nasib rakyat Palestin, solidariti kemanusiaan terhadap rakyat Afghanistan, dan pembaharuan OIC.

Beliau juga dijadual mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya bagi membincangkan isu membabitkan kepentingan bersama ketika CFM ke-48 – mesyuarat peringkat menteri pertama yang dijadualkan pada 2022 bagi negara anggota OIC.

Selain itu, beliau turut dijadual mewakili Malaysia sebagai tetamu kehormat sempena Perbarisan Hari Pakistan bagi memperingati Ulang Tahun Ke-75 Hari Kebangsaan Pakistan pada 23 Mac.

Pakistan selaku Pengerusi CFM ke-48, bertemakan “Perkongsian untuk Perpaduan, Keadilan dan Pembangunan”.

Mesyuarat itu akan dipengerusikan Menteri Luarnya Makhdoom Shah Mahmood Qureshi dan  bakal disertai wakil khas dari negara bukan OIC, iaitu Perancis, Jerman, Kanada dan United Kingdom.

Antara agenda yang dijangka menjadi tumpuan mesyuarat kali ini ialah berkaitan Ummah iaitu dari aspek politik, ekonomi, dan sosiobudaya.

Di samping itu, Sesi Sumbang Saran mengenai ”Peranan Dunia Islam dalam Memupuk Keamanan, Keadilan dan Keharmonian” turut akan diadakan.

CFM, mesyuarat tahunan Menteri Luar OIC untuk menyemak semula kemajuan bagi pelaksanaan keputusan dan resolusi yang diterima pakai pada Sidang Kemuncak serta Majlis Menteri Luar sebelum ini.

— BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas