Berita

Julie Sudiro meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru

- Diterbit 4 Februari 2023 8:05 PM MYT

PENYANYI legenda, Datin Paduka Julie Sudiro, 80, yang menerima rawatan di Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor sejak 9 Januari lalu, meninggal dunia jam 9.30 malam tadi (4 Februari 2023).

Difahamkan Julie Sudiro telah pergi buat selama-lamanya kerana mengalami komplikasi paru-paru di Hospital UiTM Puncak Alam.

Berita sedih ini dikongsikan oleh Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez.

“Saya betul-betul sedih menerima berita kehilangannya. Secara peribadinya beliau bagaikan kakak saya dan sering membimbing kami warga Karyawan dalam pelbagai perkara.

“Lebih 15 tahun beliau menjadi ahli jawatankuasa dan setiausaha kehormat kami. Ini kehilangan yang amat besar juga buat industri seni tanah air,” ujarnya.

Julie Sudiro atau nama sebenarnya Raden Juariah Raden Sudiro dilahirkan pada 26 Februari 1945 merupakan antara penghibur negara prolifik yang memulakan kerjaya seni sejak awal remaja.

Allahyarham merakamkan pelbagai lagu dalam bahasa Inggeris dan Melayu serta pernah mengadakan persembahan di beberapa benua dunia dengan kumpulannya The Emeralds

Julie Sudiro seorang yang hebat dalam muzik keroncong dan Jazz yang bukan sahaja dikenali di Malaysia dan Singapura malah dunia.

Beberapa tahun kebelakangan ini beliau sangat aktif mengadakan kelas Al-Quran bagi mengisi masa di samping menerima jemputan mengadakan persembahan apabila ada undangan.

Jenazah akan dibawa ke Masjid Darul Ehsan, Subang Jaya, Selangor, pada jam 11 tengahari ini (5 Februari 2023) dan dijangka akan dikebumikan selepas solat Zuhur. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas